Malaysia Dateline

Harga siakap RM1,196.80: Pembeli, penjual perlu elak cetus pertikaian

Dalam konteks membeli makanan di restoran yang berharga luar biasa seperti ini, pembeli dan penjual perlu benar-benar jelas akan gambaran harga keseluruhan sesuatu makanan yang dipesan.

Hal ini bagi mengelakkan gharar yang mencetuskan pergaduhan dan pertikaian.

Jika dalam keadaan restoran biasa yang harga sudah boleh diagak dengan tepat, ia boleh dianggap ‘gharar yasir’ yang dimaafkan.

Namun dalam konteks ini, mengetahui harga satu kilogram sahaja tidak cukup tanpa mengetahui berat sebenar keseluruhan ikan terbabit.

Membaca penjelasan kedua-dua pihak, masih samar namun penjual sepatutnya lebih bertanggungjawab.

Penjual wajar memaklumkan terlebih dahulu berat total dan kesan kepada harga dan mendapatkan kepastian persetujuan pelanggan, iaitu sebelum memproses ikan terbabit.

Itu lebih baik bagi mengelakkan salah faham dan pembeli terkejut dengan harga yang dikenakan.

Namun, jual beli kelihatan sudah selesai. Apabila pembeli membuat pembayaran setelah melihat bil, menunjukkan redhanya dengan harga walaupun mungkin terkejut.

Walaupun begitu, sekiranya penjual sudi memulangkan sebahagian harga, itu akan lebih harmoni bagi kedua-dua pihak.

Jika pembeli memang dari golongan T20 dan wang bulanannya mencurah, maka sudah dikira selesai sahaja atas uruf orang kaya makan memang begitu harganya.