Malaysia Dateline

Harga siling ayam RM8.90 sekilogram bermula 5 Februari ini

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard kepada RM8.90 sekilogram berkuatkuasa 5 Februari ini (Sabtu).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling tersebut akan kekal sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari bagi seluruh Semenanjung untuk menjamin kestabilan harga ayam dan juga harga makanan lain yang berkaitan.

Bagaimanapun harga siling runcit ayam bagi Labuan, Sabah dan Sarawak akan dibuat berdasarkan lokasi.

“Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang diadakan pada 31 Januari lalu juga telah diberikan taklimat berkenaan industri pengeluaran ayam dan telur yang menerima impak kenaikan mendadak kos input makanan jagung dan soya, yang merangkumi 70 peratus kos penternakan ayam.

“Dengan peningkatan kos pengeluaran maka pihak industri telah mengemukakan kepada kerajaan supaya harga kawalan dinaikkan.

“Sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan, harga runcit ayam di pasaran pada masa ini akan melebihi RM10.00 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harga siling runcit ayam yang baru ditetapkan itu berikutan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) akan berakhir pada 4 Februari ini

Sebelum ini, Persatuan Penternak-Penternak Malaysia menganggap SHMKM yang ditetapkan kerajaan bagi harga siling ayam telah menyebabkan kerugian kepada golongan penternak termasuk pemborong dan peruncit.

Skim tersebut dikatakan tidak mengikuti kos operasi dan harga dedak import yang sudah meningkat sehingga menyebabkan syarikat pengeluaran kerugian hingga RM3 juta setiap bulan.