Harga siling sesuai untuk kit ujian Covid-19 RM5.00, kata PH

Oleh NASUHA RAHMAN

Harga siling yang sesuai untuk kit ujian kendiri RTK-Antigen adalah sekitar RM5.00 dan ianya wajar diperkenalkan pada hujung bulan November ini, demikian saran Pakatan Harapan.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan berkata, pengurangan harga secara berperingkat ini telah mengambilkira keperluan masa untuk para pemborong dan pekedai menghabiskan stok sedia ada.

Harga siling semasa RM19.90 dianggap masih tinggi dan membebankan rakyat khasnya golongan B40 malahan kata jawatankuasa itu golongan M40 juga akan menghadapi masalah yang sama.

“Setiap unit kit ujian kendiri merupakan kit yg hanya dapat digunakan oleh seorang dan digunapakai sekali sahaja, ia tidak dapat diulang pakai. Dengan itu, nilainya akan hangus dalam sekelip mata.

“Keperluan dan permintaan untuk kit ujian kendiri ini amat tinggi pada masa kini dan ia akan terus meningkat, kerana ia merupakan kaedah yg paling cepat dan mudah untuk menyaring seseorang sama ada mereka telah dijangkit oleh virus Covid-19 atau sebaliknya,” jelasnya.

Dalam kenyataan bersama, Pakatan Harapan berkata, permintaan untuk kit ini dijangka akan terus meningkat dan ia bakal menjadi keperluan asas dalam kehidupan harian rakyat selepas memasuki era endemik nanti.

Dengan itu, tegas Pakatan Harapan kerajaan berkewajiban untuk mengurangkan harga siling runcit kepada paras RM15 menjelang akhir bulan ini, dan seterusnya pada paras bawah RM10 pada akhir bulan Oktober.

Terdahulu, pengumuman oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul bahawa kerajaan akan menurunkan lagi harga siling kit ujian kendiri RTK-Antigen menjelang akhir tahun ini, bermula 5 September lalu harga kit ujian kendiri ditetapkan pada harga RM19.90.