Harga tiket perlawanan Melaka United naik RM5

Harga tiket perlawanan Melaka United naik RM5

Harga tiket perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2020 membabitkan Melaka United di venue Stadium Hang Jebat naik RM5 berbanding musim lepas.

Bendahari Kehormat Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Mohamad Rashidi Othman berkata kenaikan itu melibatkan kedua-dua kategori tempat duduk iaitu berbumbung RM20 dan terbuka RM15 berikutan peningkatan kos mengurus perlawanan.

Katanya, ia selaras dengan kos semasa bagi membolehkan MUSA menampung perbelanjaan perlawanan Liga Malaysia yang semakin meningkat saban tahun.

“Kenaikan itu selepas penyokong skuad Hang Tuah menikmati antara kadar harga tiket paling rendah sejak dua musim lepas selain dilihat relevan dan harga yang sama itu juga turut diguna pakai oleh kebanyakan pasukan Liga Malaysia.

“Selain itu, kemasukan percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dan orang kurang upaya (OKU) dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata para penyokong skuad Sang Kancil boleh menjimatkan kos membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan dengan mendapatkan Pas Bermusim Melaka United 2020.

Katanya, pemegang pas bermusim juga layak menyaksikan semua perlawanan Liga Malaysia termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat sepanjang musim ini dengan enam pilihan pakej yang ditawarkan termasuk pelbagai keistimewaan.

“Ia lebih menjimatkan dan mudah, mereka hanya perlu membawa kad Pas Bermusim tanpa perlu risau untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan setiap perlawanan membabitkan Melaka United di Stadium Hang Jebat,” katanya.