Malaysia Dateline

Harga topeng muka mahal bebankan rakyat, kata bekas Timbalan Menteri KPDNHEP

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Chong Chiang Jen kecewa dengan tindakan kerajaan menaikkan harga topeng muka ketika rakyat mengalami kesukaran menghadapi penularan COVID-19 di saat ini.

Katanya, Menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi seharusnya lebih peka dengan masalah itu dan bukannya sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan menaikkan harga topeng muka pada masa ini.

Beliau menegaskan, semasa Kerajaan Pakatan Harapan(PH) 22 bulan lalu, harga siling topeng muka selapis hanya RM0.80 sen sekeping dan harga borong ialah RM25 setiap kotak yang mengandungi 50 keping.

“Pada Februari 2020, Pusat Khidmat saya di Kuching berjaya mendapatkan harga tiga lapis topeng muka dengan harga RM13 setiap kotak yang mengandungi 50 keping.

“Dengan beralasan bahawa ada permintaan yang tinggi dan perlu menaikkan harga oleh Menteri yang bertanggungjawab sekarang adalah tidak membantu rakyat dalam mengawal harga barang yang amat diperlukan pada saat ini.

“Maka keputusan Kerajaan Perikatan Nasional(PN)menaikkan harga topeng muka ketika ini adalah tidak masuk akal sekali gus membebankan rakyat untuk mendapatkan keperluan itu,” jelas beliau dalam satu kenyataan ringkas pada hantaran di Facebooknya malam tadi.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membenarkan semula aktiviti mengimport penutup mulut dan hidung (face mask) dari negara luar berkuatkuasa semalam.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan produk itu mencukupi dan boleh disediakan kepada semua pihak.

Beliau berkata, dalam masa sama, aktiviti mengeksport bahan itu juga dihentikan serta-merta bagi mengelakkan bekalan bahan itu berkurangan.

“Bagaimanapun kerajaan menetapkan harga siling bagi topeng muka sebanyak RM2 berbanding 80 sen sebelum ini kerana kekurangan bahan memproses serta berlaku kenaikan harga pada bahan asas produk ini.

“Dengan langkah ini juga, orang ramai boleh mendapatkan topeng muka di pasaran dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.