Malaysia Dateline

Hargai cetusan idea baru kerja amal bukan persoal keikhlasan

Cetusan idea, percikan minda dan dorongan ilham untuk membuat kebaikan, seperti membantu golongan susah, serta menemui kaedah yang lebih efisyen, jangan diremehkan.

Ia sebenarnya anugerah berharga yang sewajarnya disyukuri dan dimanfaatkan. Ada orang kata, itu pun rezeki daripada Allah.

Justeru, apabila ada dermawan atau individu-pertubuhan yang menunjukkan teladan, juga inovasi baru, dan merakamnya untuk tontonan kita atau mencatatnya untuk tatapan kita, maka usah mudah memandang serong sambil bersangka buruk tentang keikhlasan mereka.

Selalunya sesuatu inovasi baru itu nampak seperti “biasa-biasa sahaja” apabila ia sudah dipraktikkan, tetapi untuk mula mencetuskannya memakan masa yang lama, seringkali “tidak terfikir pun”.

Kadang-kadang orang yang ada duit, malah berstatus jutawan, dan dilimpahi lebihan harta pun tidak terfikir untuk menyalurkan sumbangan kerana nurani mereka belum terbangun dan dicuit.

Maka kita amat perlukan sekali sumber ilham atau inspirasi itu. Kita perlukan sekali cerita dan kisah yang mengilhamkan jalan-jalan atau lorong-lorong ke arah kebaikan.

Supaya dengan itu, orang lain terdorong juga untuk sama-sama berlumba membuat amal kebajikan. Selain menyampaikan mesej terbuka kepada penguasa, bahawa masih ramai yang hidup terpinggir dan melarat. Bukan hanya menagih pakej bantuan segera, tetapi juga menuntut penggubalam polisi dan pelaksanaan program bersifat holistik.

Di samping itu, inisiatif individu, contohnya, pendakwah terkenal Ebit Lew (dan ramai lagi yang tidak dikenali dan tidak mahu dikenali) yang turun ke lapangan, memikul sendiri bantuan di musim PKP ini, usaha mulianya telah memberi inspirasi kepada lebih ramai orang, yang kemudiannya terdorong untuk turut sama merasai ratap-tangis derita rakyat, tanpa mengira bangsa-agama.

Bertemu wajah dengan golongan sasar di bawah, selain bertanya khabar dan mengusap kepala anak-anak, banyak rahsia lagi dapat dikutip. Realiti dan misteri keperitan hidup dapat dihayati secara langsung. Banyak sisi negatif yang selama ini tersembunyi terserlah.

Saya juga perhatikan, melalui hantaran FB, seorang wakil rakyat misalnya membeli pukal bertan-tan sayuran dan buah-buahan daripada peladang yang bermasalah memasarkannya di musim Covid-19 ini.

Dan teladan itu seterusnya diikuti oleh ramai wakil rakyat lain. Para penyumbang tampil menaja pembelian borong itu, bersama-sama bahu-membahu. Ada juga yang memborong ikan beribu-ribu kilogram untuk diagihkan kepada masyarakat setempat yang diwakilinya, menghantar sendiri, dari rumah ke rumah.

Ia turut memberi ilham kepada orang lain juga untuk bersama-sama menyuburkan kebaikan. Maka orang ramai yang terkurung di musim PKP ini dapat disantuni dan petani-nelayan juga terbela. Keperluan dapur pun terisi.

Apatah lagi di bulan penuh keberkatan, Ramadan Kareem, tradisi menyediakan juadah berbuka puasa tambah meriah. Daripada tamar, bubur lambuk, kueh-muih (aneka jenis kudapan muncul setahun sekali) dan nasi beriyani.

Justeru, hargailah cetusan idea baru kerja-kerja amal ini, jangan meremehkan, apatah lagi sibuk mempersoal keikhlasan dan niat orang. Jangan campuri urusan Tuhan untuk menghakimi apa terlintas di hati.

Jangan sama sekali matikan motivasi dan semangat untuk berbakti, saling tolong-menolong, sebaliknya cari jalan untuk menyemarakkan kasih-sayang sesama insan. Benamkan dalam-dalam jika terpercik bibit-bibit kedengkian dan kebencian. Mungkin timbul perasaan cemburu, tetapi rawatinya dengan sama-sama bertekad untuk turut membantu.

Sesungguhnya tidak mudah bagi mereka yang sedia bersinseng lengan bermandi peluh, apatah lagi menggunakan duit sendiri, turun ke lokasi yang agak kotor dan kadang-kadang busuk-jelik… apakah berbaloi hanya kerana gamitan populariti dan nama yang disebut-sebut? Tidak! Malah, mereka pun tidak memerlukan populariti itu; bukannya ahli politik atau calon wakil rakyat yang mengharapkan undi dalam pilihan raya.

Untuk mereka yang disindir dan ditohmah kerana melakukan kerja amal ini, pedulikan … selagi bernama insan, susah untuk kita pastikan semua orang bersetuju dengan kita.

Memang ada kelompok yang hanya tahu mengkritik dan kreatif mencari silap orang. Jika ada iktibar, ambillah pengajaran dan peringatan. Lagipun sebelum kita melangkah dulu, kita sudah pasakkan dalam-dalam niat suci membantu golongan yang memerlukan.

Jangan kerana sedikit cercaan kita mundur ke belakang. Tutup rapat-rapat ruang untuk beri kemenangan moral kepada pengkritik itu. Cukuplah Allah menjadi saksi usaha kerdil kita.