Hargai juga ‘tokoh kiri’ pejuang kemerdekaan, saran Mohamad Sabu

Mohamad (tiga dari kanan) bersama barisan peguamnya dan waris Mat Indera selepas mahkamah membebaskan beliau daripada pertuduhan memfitnah anggota polis dan keluarga mereka dalam peristiwa Bukit Kepong.

Keputusan mahkamah yang membebaskan presiden AMANAH Mohamad Sabu daripada pertuduhan memfitnah anggota polis dan keluarga mereka dalam peristiwa Bukit Kepong perlu dijadikan iktibar untuk menulis semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Mohamad dalam satu kenyataan media berkata, kemerdekaan negara bukan sahaja diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Dato’ Onn Jaafar dan para pemimpin Umno tetapi turut diperjuangkan oleh tokoh pejuang masyarakat antaranya Dr Burhanuddin al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Datuk Ahmad Boestamam, Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi.

“Ini termasuk Mat Indera yang saya sebut pada satu ceramah di Padang Menora Pulau Pinang, enam tahun lalu,” katanya mengulas kembali ucapannya yang dijadikan bahan bukti kes pendakwaan beliau.

Menurut Mohamad, beliau membangkitkan persoalan kenapa pegawai yang berkhidmat dengan penjajah British disanjung sebagai pejuang kemerdekaan sedangkan tokoh-tokoh yang melawan British dianggap sebagai ‘pengganas’.

“Peristiwa ceramah saya itu kemudian dibawa ke mahkamah oleh pemerintah. Saya yakin tindakan itu dibuat untuk membangkitkan kemarahan pasukan polis dan tentera kepada saya dan dieksploitasi semahunya oleh akbar Utusan dan TV3,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun Mahkamah Sesyen Butterworth membebaskan beliau daripada tuduhan memfitnah anggota polis dan keluarga mereka dalam peristiwa Bukit Kepong, pihak pendakwa mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tibggi.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya juga membebaskan beliau namun pihak pendakwa merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Dalam perbicaraan yang berlangsung jam 11 pagi hari ini, mahkamah sekali lagi membebaskan saya dari tuduhan menghina pasukan keselamatan,” katanya.

Mohamad berterima kasih dan bersyukur kepada Allah dengan keputusan mahkamah yang membebaskan beliau juga kepada para peguam diketuai Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Ali dan Nassar Khan.
“Pertarungan yang berlangsung enam tahun akhirnya berakhir pagi tadi dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan oleh pendakwa.

“Maka kita akui sejarah yang ditulis termasuk oleh Kerajaan Negeri Johor bahawa Mat Indera juga adalah salah seorang pejuang kemerdekaan,” katanya.

6.3
OVERALL SCORE
: 0.0
2 user votes x 9.5