Hargai kontrak sosial, perubahan tidak boleh secara mendadak

Hargai kontrak sosial, perubahan tidak boleh secara mendadak

Hasil persetujuan perjanjian etnik yang secara longgarnya sering dikenali sebagai kontrak sosial adalah masih relevan dan akan terus relevan, kata Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) & Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Menurutnya, kaum Melayu selaku kelompok majoriti serta dominan selain asal, memberi kaum bukan asal kemudahan dan kelebihan istimewa tertentu dalam bernegara di tanah watan mereka.

“Ini kerana ia bukan hanya persetujuan bersama yang adil, ia konsesi kaum Melayu kepada kaum bukan Melayu.

“Antaranya adalah hak untuk terus hidup sebagai kaum Cina dengan kebenaran bukan sahaja mengadakan, tetapi juga mengembangkan pendidikan ibunda mereka untuk tujuan pelestarian etnik Cina mereka.

“Konsesi begini yang sifatnya murah hati tidak diberikan dengan mudah oleh kaum watan kepada kaum bukan asal di kebanyakan tempat. Namun ia berlaku di negara ini!” tegasnya dipetik dari wawancara beliau di akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kontrak sosial tersebut atau lebih tepat lagi pemberian daripada kaum Melayu bukan sahaja perlu difahami bahkan lebih penting lagi hendaklah dihargai.

“Ia pemberian yang paling demokratik, iaitu kebebasan hidup secara asal di negara bukan asal!

“Kesabaran kaum Melayu dalam bertolak ansur dan melayan kerenah kaum bukan Melayu, lebih-lebih lagi pada waktu kebelakangan ini, dengan pemerintahan baharu yang bersifat liberal sekali, ada hadnya.

“Selama 61 tahun, simbol dan proses sosiobudaya Melayu yang dipersetujui bersama dalam perjanjian etnik atau kontrak sosial, diangkat dan didukung sebagai identiti nasional,: jelasnya.

Bagaimanapun, Dr Teo Kok Seong berkata hal tersebut tidak menjadi masalah dan semua kaum menerimanya.

“Dengan ada peralihan pemerintahan dan wujudnya era Malaysia Baharu, identiti Melayu-Muslim untuk negara ini tidak dapat dinafikan sedang berubah dan menjadi identiti yang tidak lagi Melayu-Muslim kesemuanya sebagai identiti negara.

“Inilah perubahan yang ingin dibawa oleh rejim baharu. Saya kira itu keutamaan pemerintahan mereka. Namun, perubahan ini tidak boleh sesekali menyebabkan kejutan budaya, khususnya dalam kalangan kaum Melayu.

“Perubahan ini yang ingin dilakukan rejim baharu untuk merungkai cara dan citra lama, tidak boleh dilakukan secara mendadak, iaitu sejurus sahaja memegang tampuk pemerintahan negara,” ujarnya lagi.