Malaysia Dateline

Hargai maruah, jangan hina penjawat awam

Hanya beberapa minggu selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah melalui cara ‘tebuk atap’ pelbagai insiden telah berlaku dan penjawat awam telah dimangsakan. Penjawat awam yang dimangsakan itu bukanlah penjawat awam yang mempunyai gred rendah tetapi penjawat awam yang dimangsakan itu adalah bertaraf pegawai tinggi.

Peristiwa pertama berlaku apabila Ketua Setiausaha Negara sendiri, Datuk Seri Mohd Zuki Ali sendiri yang terpaksa meminta maaf bagi pihak kerajaan kerana gagal menjemput Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada negeri Pakatan Harapan untuk menghadiri mesyuarat pelarasan gerak kerja COVID-19 bersama Perdana Menteri.

Kejadian kedua pula melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad memberi kebenaran kepada kilang arak Heineken untuk beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Walhal, kemudiannya Timbalan Menteri KPDNHEP, Datok Rosol Wahid sendiri mengakui bahawa beliau mengetahui tindakan kebenaran hal tersebut.

Kejadian yang terbaharu pula adalah melibatkan satu tweet politik di twitter Kementerian Kesihatan Malaysia yang melibatkan seorang penjawat awam berbangsa India gred 54 yang bertugas di Unit Komunikasi Korporat (UKK) kementerian tersebut. Tweet tersebut ada tweet yang memuji Menteri Kesihatan yang kononnya telah berjaya dengan cemerlang mengekang penularan COVID-19.

Tweet itu sendiri dikatakan bersumberkan laman facebook Friends of Adham Baba. Namun, dalam tempoh tidak sampai 24 jam tweet tersebut akhirnya dipadamkan apabila mendapat reaksi negatif netizen dan akhirnya pegawai UKK tersebut telah dipersalahkan.

Kita semua tahu bahawa pegawai kerajaan mempunyai prosedur birokrasi yang kompleks. Sesuatu tindakan yang dibuat mestilah mendapat kelulusan pegawai atasan sebelum ianya dilaksanakan.

Contohnya dalam hal berkaitan kebenaran operasi kilang arak, tidak mungkin ianya pandai-pandai dibuat oleh KSU Kementerian tanpa ada keputusan dasar yang diberikan kepadanya oleh Menteri. Akhirnya, kebenaran terbukti jua apabila Timbalan Menteri KPDNHEP sendiri yang mengakui mengetahui hal tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau juga mengakui bahawa Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi juga mengetahui hal itu. Aneh sekali, sehingga sekarang Datuk Alexander tidak berbunyi walau sepatah pun.

Begitu juga dalam hal yang melibatkan UKK, Kementerian Kesihatan Malaysia ini. Mana mungkin UKK mendapat input sebegitu sekiranya tiada orang atasan yang memberikan input itu untuk ditweetkan oleh KKM. Tindakan menyalahkan UKK adalah satu tindakan yang menjatuhkan maruah dan menghina penjawat awam.

Justeru, dalam menangani sikap sesetengah ahli politik ini penjawat awam seharusnya menjaga diri mereka sehingga tidak dipergunakan lagi oleh orang politik. Pemimpin politik akan datang dan pergi tetapi penjawat awam adalah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 135(1) Perlembagaan Persekutuan telah melindungi hak penjawat awam untuk tidak dibuang kerja atau diturunkan pangkat secara sesuka hati oleh ahli politik. Selain itu, beberapa peraturan lain juga telah digubal bagi melindungi penjawat awam berkaitan tindakan tatatertib ke atas mereka.

Jika mana-mana penjawat awam tidak berpuashati dengan tindakan tatatertib yang dikenakan, mereka boleh membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mendapat pengesahan ke atas tindakan yang dikenakan.

Apa yang penting adalah bagi penjawat awam mengambil tindakan untuk berwaspada dengan ahli politik. Sebarang arahan yang dikeluarkan oleh ahli politik ini hendaklah direkodkan sama ada melalui rekod yang dibuat melalui memo atau melalui sistem pesanan ringkas atau whatsapp. Ini bagi mengelakkan wujudnya penafian oleh orang politik itu terhadap arahan yang diberikan.

Kita memahami dilema yang dihadapi oleh sesetengah penjawat awam apabila menerima arahan atau ‘wahyu’ politik ini. Jika tidak diikuti kita akan dimarahi tetapi jika kita mengikut sahaja akhirnya kita yang menanggung risiko sedangkan ahli politik itu dapat bersenang-senang bersama keluarga mereka.

Kita sangat kesal dengan tindakan sesetengah ahli politik PN sekarang yang bukan sahaja tidak menjaga maruah penjawat awam bahkan sehingga ke tahap menghina kerjaya mereka.

Tindakan sebegini amatlah berbeza dengan layanan yang diberikan oleh kerajaan PH dahulu sehingga ada dalam sesetengah keadaan kerajaan PH sendiri kelihatan tersepit dengan budaya ‘deep state’ oleh penjawat awam yang khianat.

Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa ada sesetengah penjawat awam yang mahu kerajaan PH ditumbangkan dan mengembalikan kerajaan yang membenarkan rasuah kerana itu lebih menguntungkan mereka.

Kita percaya sikap sebegitu hanya wujud di kalangan segelintir penjawat awam yang korup tetapi majoriti penjawat awam sebenarnya amat teguh mendukung kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada negara.