Malaysia Dateline

Hargai semangat dan bantuan diberi isteri, lelaki ini berjubah konvo di pusara

Lantaran menghargai semangat dan bantuan yang diberi arwah isteri, lelaki ini berjubah konvokesyen di pusara pasangannya yang dikasihi.

Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Erman Mahrilar berkata, tindakannya memakai jubah konvokesyen biarpun hakikatnya dia sudah tiada di dunia ini hanya mahu menunaikan hasrat arwah isterinya.

“Isteri memang semangat mahu melihat saya memakai jubah konvokesyen hingga mahu menempah pakaian khas untuk dipakai pada majlis itu tetapi hasratnya tidak kesampaian.

“Sepatutnya majlis diadakan tahun lalu tetapi kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkannya tertangguh hingga tahun ini,” lapor Harian Metro.

Erman, 47, berkata, isterinya, Raja Marzuin Raja Baharudin, 39, menghembuskan nafas terakhir pada 20 Ogos tahun lalu akibat jangkitan kuman.

Beliau berkata, dia menghadiri konvokesyen pada September lalu tanpa kehadiran insan tersayangnya itu selepas menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Pentadbiran.

Menurutnya, dia segera ke kubur isteri di Bangi selepas tamat majlis di Shah Alam untuk merakam kenangan.

Jelasnya, banyak kenangan yang dicipta bersama isteri walaupun hanya tiga tahun melayari bahtera perkahwinan termasuk isteri sanggup menemani mengulang kaji pelajaran dan membantunya.

“Isteri memang setia temankan saya belajar, ikut kelas dalam talian dan membuat persediaan ujian akhir sehingga jam 3.30 pagi.

“Sepanjang tempoh belajar tidak mudah untuk saya membahagikan masa kerana mempunyai tugas hakiki tetapi isteri sentiasa memberikan semangat dan banyak membantu,” ujarnya yang tidak mempunyai anak dengan arwah isterinya.

Baca juga ‘One way lah, haiyoo!’ – Pemandu patut berhenti saja di tengah jalan

Baca juga Bijaknya kucing ni, boleh dengar arahan dengan baik.. kanan kiri diurut..