Hargai tradisi, nilai kekeluargaan kata Wan Azizah

Hargai tradisi, nilai kekeluargaan kata Wan Azizah

Hargai tradisi dan nilai kekeluargaan yang wujud sekarang memandangkan Malaysia menuju sebagai “negara tua”, kata  Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusannya sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

“Pada perayaan Tahun Baharu Cina ini, marilah kita mengukuhkan talian kekeluargaan dan menghargai orang yang tersayang,” katanya.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kepentingan nilai-nilai itu perlu ditanam ke dalam sanubari anak muda kerana ia penting bagi membentuk masyarakat Malaysia yang penyayang.

“Hormati, sanjungi dan jagalah mereka yang lebih tua. Belajar daripada kebijaksanaan mereka dan jangan mengabaikan mereka,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata golongan itu pernah menjaga serta mendidik di mana jasa dan kasih sayang yang telah mereka curahkan tidak mampu dibalas.

“Ingatlah, satu hari nanti, kita juga akan memerlukan orang lain untuk menjaga kita. Warga tua bukanlah satu beban tetapi hadiah tidak ternilai yang mesti dihargai,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata apa yang paling penting mengenai sambutan Tahun Baharu Cina ialah  ia melambangkan rasa hormat menghormati ibu bapa, mereka yang lebih tua dan peluang untuk keluarga meluangkan masa bersama.- BERNAMA