Hari Al-Quds tanda solidariti kepada penduduk Palestin

Hari Al-Quds tanda solidariti kepada penduduk Palestin

Saban tahun, pada setiap hari jumaat terakhir bulan ramadhan, dunia menyaksikan seluruh komuniti global bersatu menjayakan Hari Al-Quds sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin yang berterusan ditindas dan dizalimi pengganas Zionis-Yahudi. Hari Al-Quds adalah manisfestasi kesatuan dan kecaknaan masyarakat dunia mengecam kebiadapan pihak Zionis yang berterusan melakukan pencabulan ke atas Masjidil Aqsa dan operasi pembantaian ke atas penduduk Palestin.

Sikap kurang ajar pihak tentera Israel bukanlah perkara baru. Terkini, dalam bulan Ramadhan yang mulia ini pihak tentera Israel secara baidap telah melepaskan siri-siri tembakan bertujuan menganggu penduduk palestin di sekitar Masjid Al-Aqsa. Pencabulan ke atas Masjid Al-Aqsa dan menyekat umat Islam untuk beribadah di situ jelas menyingung kemarahan masyarakat Islam dan komuniti global. Masjidil Aqsa adalah hak bagi umat Islam dan merupakan Masjid ketiga terutama dalam Islam selepas Tanah Haram Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah menandakan peranan sejarah yang signifikan dimilikinya dalam dunia Islam.

Kezaliman Yahudi Zionis bukan setakat telah melakukan pembantaian terhadap Masjid Aqsa semata. Mereka turut membunuh dan menahan sewenangnya orang awam, kanak-kanak dan remaja Palestin. Menurut sumber Al-Jazeera, seramai 7000 ditahan di penjara Israel di mana hampir 414 merupakan remaja bawah umur 18 tahun. Jumlah ini kian meningkat apabila Israel meningkat tekanan ke atas penduduk Palestin dalam bulan Ramadhan. Desakan dan kecaman dari seluruh pelusuk dunia dipandang sebelah mata dan sedikit pun tidak diendahkan mereka disebabkan bantuan sokongan daripada pihak Amerika Syarikat yang telah berjaya dilobi kepentingannya di Washington oleh para pelobi agenda Zionis. Keadaan ini seperti tiada makna untuk bersorak senang akan sebuah pencapaian di dalam dewan PBB atas nama diplomasi tetapi realiti adalah ratusan terus dibunuh dan ribuan terus menderita.

Serangan demi serangan ke atas kedudukan orang awam Palestin terus-menerus dilakukan tanpa perikemanusian. Sikap bongkak dan angkuh yang disengajakan oleh pihak zionis Israel pada paparan pentas umum dunia ini jelas melanggar batasan hak asasi kemanusiaan masyarakat Islam Palestin dan tidak dikenakan sebarang hukuman itu kerana didokong penuh oleh kuasa-kuasa besar dunia adalah suatu sikap ‘double standard’ telah mengaibkan reputasi sistem dunia sedia ada.

Perjanjian Turki – Israel, sinar baru untuk Palestin

Kerajaan Turki menerusi Presiden, Recep Taiyib Erdogan telah memeterai perjanjian dengan pihak Isreal. Menurut laporan Daily Sabah, agensi akhbar Turki pada Rabu, hasil daripada perjanjian ini, keluarga mangsa tragedi Kapal Mavi Marmara pada 2010 akan menerima pampasan sebanyak USD 20 Ribu daripada pihak Israel. Antara lain, pihak Turki dibenarkan untuk menghantar bantuan kemanusian bagi membantu masyarakat Palestin. Bantuan lain seperti bantuan kemanusiaan sempena Aidilfitri di samping pmbangunan insfrastruktur seperti hospital dan pembangunan semula Bandar Gaza diharap dapat membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat Palestin. Pengumuman penuh berkenaan perjanjian tersebut akan dilakukan oleh Perdana Menteri Turki, Binari Yildrim di Ankaara dan rakan sejawatnya, Benjamin Nateyahu pada isnin depan. Pihak Israel juga telah memohon maaf atas tragedi berkenaan selepas didapati bersalah oleh pihak Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011. Ini adalah kemenangan moral untuk seluruh pencinta keamanan sedunia.
Negara-negara Islam yang lain harus melihat usaha yang dilakukan Turki sebagai satu galakan bersama untuk meneruskan agenda mengangkat perjuangan rakyat Palestin di pentas global. Seluruh negara Islam harus menyatakan sikap dan mengambil tindakan sepatutnya bagi memastikan nasib Al-Aqsa terbela Menerusi OIC, satu pelan jangka panjang yang tersusun haruslah dipersiapkan bagi memastikan perjuangan membela Palestin bukan sekadar bermusim dan konsisten. Malaysia, sebagai salah satu anggota OIC haruslah terus mendepani usaha ini bersama komiti Islam lain. Syabas diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia atas tindakan mengecam kezaliman Israel ketika berucap di Majlis Umum PBB. Dato` Seri Najib juga menyatakan Malaysia akan terus komited untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin seperti yang telah dilakukan Malaysia selama ini.

Mahasiswa sebagai jurubicara umat

Seluruh mahasiswa-mahasiswi diseru untuk bersama-sama mengambil cakna dan berperanan aktif dalam isu ini. Tindakan seperti mempergiat kempen kesedaran yang kreatif, memboikot barangan buatan Amerika dan Israel, memperbanyakkan program dan rancangan penerangan di peringkat kampus dan aktiviti advokasi isu Palestin secara konsisten serta menyatakan kecaman berlarutan melalui bentuk tulisan harus dipergiat-hebatkan sebagai tanda solidariti dan usaha gigih kita dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Mahasiswa harus kreatif memanfaatkan kemudahan teknologi sebagai wahana penting menyebarluaskan gerakan kempen kesedaran berkenaan isu Palestin. Video ringkas dan infografik antara medium yang dapat difungsikan dalam era ledakan digital kini.

Sebagai mahasiswa yang cintakan keamanan dan kedamaian, perjuangan ini haruslah digerakkan secara berterusan agar isu Palestin ini tidak sekadar “hangat-hangat tahi ayam” atau lebih kesal lagi berlaku pertembungan antara satu sama lain. Lakukan pelbagai perkara mengikut kemampuan peringkat masing-masing bermula dari individu hinggalah ke organisasi bagi memastikan nasib saudara kita di Palestin terus terbela.

“Our Freedom is Incomplete without the Freedom of Palestinians” (Nelson Mandela)

AHMAD FARHAN BIN ROSLI adalah aktivis PKPIM ([email protected])

COMMENTS

Wordpress (0)