Malaysia Dateline

Hari Eksport 2018 bertepatan dengan hasrat Sabah tambah syarikat pengeksport

Penganjuran Hari Eksport 2018 oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Sabah bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menambah bilangan syarikat pengeksport dari Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata negeri itu sedang merancang untuk memacu pertumbuhan ekonominya dengan lebih rancak lagi, antaranya, dengan mempertingkatkan kapasiti pengendalian kontena di pelabuhannya ke luar negeri.

“Tujuan utama mempertingkatkan TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) ini adalah supaya tercapainya lebih 500,000 TEU (setahun).

“Dengan itu, perkapalan antarabangsa boleh membawa barangan terus ke pasaran tempatan (Sabah) dan tidak lagi perlu singgah di Pelabuhan Klang.” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Eksport 2018 itu, di sini.

Tangau, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri, turut berkata Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu telah mendapat lesen untuk mengendalikan pelabuhannya dengan perkhidmatan kastam selama 24 jam berbanding 12 jam sebelum ini.

Menurutnya, Pelabuhan POIC Lahad Datu itu berada di kedudukan strategik di pantai timur negeri yang menghubungkan Sabah terus ke negara Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Asean – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata kerjasama Matrade dengan kerajaan negeri penting untuk mencungkil lebih ramai usahawan pengeksport dari negeri ini.

“Dalam keadaan di mana seluruh dunia bertanding untuk pasaran antarabangsa, adalah penting untuk usahawan kita sedar dan tahu tentang perkembangan semasa dan juga menghasilkan produk berkualiti yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.

”Jadi, Matrade boleh menyelaraskan kerjasama antara industri dan semua badan kerajaan supaya kita boleh menyelia usahawan kita untuk menjadi pengeksport berjaya,” katanya.

— BERNAMA