Hari ini banyak yang saya nak nukilkan

Saya berkesempatan menyertai rombongan Pemuda AMANAH Perak ke Parlimen Bukit Gantang untuk program yang telah kami susun semasa ‘retreat’ kami tempoh hari iaitu Program Amanah Peduli Rakyat.

Banyak program yang telah disusun, yang saya pun tak sempat mengikuti kesemuanya. Inilah kali pertama saya betul-betul turun ke padang, bertemu dengan masyarakat kerana selama ini banyaknya saya hanya memberi sumbangan dalam bentuk penulisan dan pemikiran.

Menemui rakyat yang susah, ada yang terlantar dengan tilam yang serba buruk yang sudah lama tak bertukar, ada yang punyai anak yang cacat dan tinggal 7 orang serumah dan macam-macam lagi.

Saya juga sayu melihat wajah-wajah yang girang memperolehi baju sekolah dan kasut baru dalam program Back to School yang kami anjurkan. Sungguh, rakyat susah, dan semakin hari semakin ramai yang susah.

Terdetik di benak saya, apalah yang Umno dan BN buat selama ni. Ya Allah, hidup mereka sangat susah. Ini baru kawasan kampung, belum lagi kawasan bandar, yang lebih ramai miskin bandar. Banyak lagi yang perlu dibantu. Tapi di manakah bantuan itu? Negara kita negara yang kaya, tetapi di manakah kekayaan itu pergi? Semua tahu jawapannya.

Namun pada hari ini, dalam kesusahan yang sudah sedia ada, kita dihimpit lagi dengan pelbagai bebanan. Harga barang naik , cukai GSTnya lagi, subsidi yang dilupuskan, dan macam-macam lagi kesusahan yang menimpa.

Dalam keadaan itu, perlukah lagi ada yang mahu berkawan baik dan menasihati Umno dan BN? Tidak cukupkah kebobrokan yang UMNO dan BN lakukan sebagai bukti-bukti nyata yang mereka perlu dimuziumkan dan dinyahkan daripada persada kerajaan yang sudah lama mereka pegang?
Tidak sedarkah kita betapa sempitnya kehidupan rakyat, tetapi ada yang bersenang-lenang mahu jalinkan kerjasama, mahu jadi kingmaker nak perkotak-katikkan undi rakyat? Apa yang mahu kita jawab di hadapan Allah nanti sekiranya ini sikap kita?

Saya sudah lama mendengar bahawa Parti Amanah Negara (Amanah) ini adalah boneka DAP. Namun baru-baru ini, ia keluar pula daripada seorang pimpinan pemuda PAS, seseorang yang saya hormati suatu ketika dahulu. Seseorang yang terkenal dengan sikap lemah lembutnya, dan menjaga pandangannya. Namun, sungguh saya terkejut atas fitnah yang dilemparkan beliau kepada Amanah.

Umno sudah lama mencipta imej bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. PAS sejak dari dulu telah menolak sentimen sebegini. Semasa PAS berada dalam PR sejak tahun 2008, PAS hampir mencapai satu ‘breakthrough’ apabila PAS mewujudkan hubungan yang rapat dengan masyarakat bukan Islam.

Tetapi tidak senangnya Umno yang tidak sukakan persahabatan ini telah mendatangkan keraguan, selalu mengatakan PAS kuda tunggangan DAP, yang akhirnya menyebabkan PAS memutuskan untuk tidak lagi bersama-sama DAP. Berakhirnya ikatan itu, bukan sahaja memutuskan ikatan PAS dan DAP, tetapi imej sebuah parti Islam, dan imej Islam itu sendiri jatuh merudum atas apa yang PAS lakukan di hadapan mata masyarakat bukan islam dan rakyat marhaen.

Selepas apa yang Umno lakukan, dan setelah apa yang PAS lakukan (memungkiri janji dalam PR, ponteng sidang parlimen, tidak hadir mesyuarat PR), orang bukan Islam memandang rendah kepada orang Melayu Islam. Buktinya, sokongan mereka kepada PAS telah jatuh daripada 80% ke tahap yang paling rendah. Seolah-olah orang Islam tiada profesionalisme, orang Islam tiada etika, orang Islam hanya pandai berkata-kata, tetapi akhlak ke laut dan bodoh sombong.

Sokongan mereka kepada PAS dan Umno telah menjunam jatuh. Sikap Umno dan PAS sebenarnya telah mencipta ruang vakum yang kosong, yang perlu diisi oleh Amanah untuk menaikkan semula izzah dan imej Islam. Tugas Amanah untuk menjulang semula nama Islam, bukan sekadar dengan slogan-slogan dan retorika, tetapi dengan kerja keras yang perlu dilakukan bagi membuktikan apa yang telah dilakukan oleh PAS dan Umno, tidak akan berulang kembali dengan kemunculan Amanah.

Umat Islam perlu bangkit bukan dengan slogan-slogan perkauman, tetapi sebaliknya membuktikan bahawa kita adalah lebih baik daripada apa yang golongan bukan Islam sangkakan. AMANAH perlu memastikan kami sentiasa professional, menepati waktu, amanah dan jujur dengan rakan sepakatan, meskipun mereka itu bukan Muslim.

Sepanjang saya berada di UK dan menjadi golongan minoriti Muslim di sana, saya dapat lihat betapa tingginya ‘expectation’ bukan Islam kepada kami Muslim di sana. Mahu atau tidak, kami perlu buktikan yang Islam inilah agama yang terbaik, bukan dengan cara melaung-laungkan slogan, sebaliknya melalui akhlak dan perbuatan kami.

Melalui professionalisme kami. Melalui dakwah kami. Nama yang saya bawa (Mohammad), adalah nama panggilan kepada saya dan mahu atau tidak saya seharusnya membuktikan sebagai seorang Muslim, saya mampu berjaya dalam apa yang saya lakukan, dan melonjakkan nama Islam itu sendiri. Pembawaan akhlak yang baik inilah yang menjadikan Islam itu ‘the fastest growing religion’ di United Kingdom sejak sedekad yang lalu.

Soalnya, sejak Umno memerintah negara ini berdekad lamanya, apakah pendekatan dakwah yang Umno lakukan kepada bukan Islam? PAS pula sudah hampir ke arah itu, ke arah dakwah yang inklusif, tetapi nampaknya berputus asa separuh jalan apabila memutuskan persahabatan dengan DAP, sedangkan pada saat inilah saat yang terbaik bekerjasama untuk memuziumkan Umno dan BN. Maka, inilah kerja berat yang perlu Amanah lakukan. Inilah ruang vakum yang perlu kami isi, bagi memastikan dan membuktikan Islam itu adalah rahmat untuk seluruh alam.

Kepada yang masih mengatakan kami adalah pengkhianat, teruskanlah kalian dengan perjuangan sempit kalian. Kerana di depan kami, adalah terbentang tanggungjawab menegakkan keadilan, menghancurkan budaya rasuah, menghapuskan extremisme dalam masyarakat, dan mengembalikan keharmonian, tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.

* MOHD TAZLI AZIZAN selaku  Naib Ketua Pemuda Amanah Perak.

CATEGORIES