Malaysia Dateline

Hari ini dibadai tengkujuh, esok mentari terbit menerangi suasana

Seperti anda, saya pun turut berharap untuk menewaskan rampasan kuasa gabungan Muhyiddin-Azmin yang dikuasai UMNO-PAS pada sidang Parlimen akan datang, dan memulihkan keadaan.

Ia sebenarnya boleh dilakukan. Kita sudah boleh melihat retak dalam gabungan itu yang diwujudkan secara tergesa-gesa demi untuk mencuri kuasa pentadbiran daripada kami yang telah mendapat mandat rakyat pada 9 Mei 2018.

Sebagai contoh; kepentingan yang berbeza telah memisahkan kumpulan Hishammuddin Hussein dengan Zahid Hamidi. Itu belum ditambah tekanan daripada pengundi di Sarawak yang mungkin menyebabkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memikirkan semula keputusan mereka untuk menyertai gabungan itu.

Tetapi buat masa sekarang, saya juga tahu bahawa wujud kemungkinan untuk gabungan Muhyiddin membeli, menggoda hatta mengancam Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan untuk melompat menyertai mereka.

Oleh yang demikian, saya berharap semangat perjuangan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen PH dan Warisan, serta bantahan orang ramai terhadap rampasan kuasa ini, akan terus mengekalkan kekuatan kita bersama. Jika kita dapat bertahan selama yang perlu, gabungan pengkhianat ini akan lebih sukar mentadbir sebagai kerajaan dan akan hancur berkecai lebih cepat.

Kerajaan Muhyiddin mungkin tidak mahu Parlimen bersidang secepat mungkin kerana setiap usul yang dikemukakan akan menjadi perang mencari sokongan. Setiap hari Parlimen bersidang, kerajaan pintu belakang ini akan sentiasa berada dalam ketakutan.

Jadi, janganlah berputus asa dan doakan yang terbaik.

Pun begitu, kita harus bersiap sedia untuk satu perjalanan yang panjang.

Pertamanya, walaupun kita marah dengan rampasan kuasa ini, janganlah dibiarkan rasa marah itu digunakan pihak sebelah sana sebagai alasan untuk menghentikan Parlimen, atau lebih teruk lagi (mohon dijauhkan), memansuhkan pilihanraya. Gabungan pengkhianat ini sedar mereka tidak mampu menang dalam pilihanraya. Kita tidak boleh beri mereka sebarang alasan untuk memansuhkan pilihanraya.

Kedua, rasa marah kita itu juga janganlah terhad di papan kekunchi. Kita memerlukan lebih ramai rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan agama, untuk maju ke hadapan melibatkan diri dalam hal ehwal awam dan politik.

Parti-parti progresif memerlukan lebih ramai orang untuk menawarkan diri bagi memperjuangkan kebebasan supaya apabila nanti kita kembali menjadi kerajaan, kita sudah ada generasi pemimpin yang siap untuk mentadbir negara.

Saya menyertai DAP pada 1999 ketika Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kawasan masing-masing. Waktu itu, DAP berada dalam keadaan yang menyedihkan. Saya dan rakan-rakan menyertai DAP kerana tidak mahu parti ini tersungkur tanpa melawan.

Ketiga, seluruh rakyat Malaysia memerlukan tahap celik-media yang tinggi. Orang ramai perlu memiliki kesedaran dan ilmu untuk mengenalpasti berita palsu, dan tidak terkesan dengan agenda di sebaliknya. Usaha-usaha diperlukan untuk memupuk celik-media sebagai sebahagian daripad pendidikan sivik dan kemasyarakatan.

Saya telah mengingatkan beberapa kali pada tahun lepas, bahawa Mufakat Nasional PAS dan UMNO di satu pihak dan MCA-MIC di satu pihak yang lain, melalui media arus perdana dan media sosial, sedang melaksanakan strategi ‘bumi hangus’ – membakar Malaysia aebagai sebuah ‘rumah’ supaya boleh mereka mendudukinya.

Pada Oktober 2019 saya telah menulis:

“Gabungan politik Pas-Umno yang berasaskan kaum ini, yang turut disokong MCA dan MIC, sedang mempergunakan kaum dan agama sebagai senjata politik untuk menentang kerajaan.

“Dalam kalangan orang Melayu, gabungan Pas-Umno terus menyebarkan dakyah kononnya DAP, terutamanya Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, mengawal dan menundukkan kerajaan. Di pihak bukan-Melayu pula, MCA dan MIC menjalankan propaganda kononnya DAP dikawal oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengutamakan kepentingan Melayu berbanding yang lain.

“Biar saya perbetulkan fakta. Itu semua adalah pembohongan semata-mata. Bagaimana mungkin ia benar sedangkan kedua-dua pembohongan itu saling berlawanan sama sendiri. Ini tidak masuk akal.

“Sekiranya rakyat Malaysia menelan bulat-bulat tipu daya ini, bersedialah untuk menyaksikan kembalinya pemerintahan Najib Razak pada pertengahan penggal. Pakatan Harapan mungkin sahaja menjadi kerajaan setengah penggal; atau sebaliknya mentadbir selama sekurang-kurangnya dua penggal sekiranya ia berjaya bertahan di tengah-tengah usaha memecahkan gabungan melalui mobilisasi perkauman.”

Malang sekali, Pakatan kini berakhir sebagai kerajaan separuh penggal. Namun apabila nanti kita kembali mentadbir, kita akan memerlukan mandat yang kuat supaya sebuah kerajaan yang progresif tidak akan ditumbangkan lagi.

Untuk berbuat demikian, kita harus mengingatkan semua pihak supaya tidak terjerumus ke dalam bingkai perkauman dan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia agar menolak mobilisasi kaum serta rampasan kuasa atas nama kaum.

Mereka yang menetap di negara dengan empat iklim tahu bahawa apabila tiba musim salji, musim bunga tidaklah terlalu jauh. Ia sama keadaannya apabila hari ini kita dibadai tengkujuh, esok matahari akan terbit mencerahkan suasana. Kita perlukan seluruh rakyat Malaysia untuk bangkit, berganding tangan dan membina semula negara ini bersama-sama.

*Penulis adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP