Malaysia Dateline

“Hari ini Najib, Muhyiddin, esok penyangak lain pula akan sogok”

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui mandat rakyat pada PRU14 lalu berjaya menggulung kerajaan kleptokrat namun, dibawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi rakyat dibelenggu rasuah dalam kerajaan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat sedang lihat kerajaan Muhyiddin membeli sokongan melalui anugerah jawatan dan wang.

“Kali ini semua mereka yang tidak sokong dilucut jawatan, digugur dari parti, dan didera dengan pelbagai cara. Ada yang dituduh secara sombrono, disoal berjam-jam, dimasuk dalam tahanan dan dikena reman,” tulis beliau di blog Chedet.

Sebaliknya, kata beliau mereka yang menyokong dihadiahkan dengan jawatan tinggi, wang dan aneka jenis kemudahan.

“Di Sabah rakyat pilih Kerajaan.

“Kleptokrat di pusat beli ahli parti Kerajaan untuk tumbang Kerajaan. Hasrat rakyat dicabul.

“Hari ini Najib dan Muhyiddin. Esok penyangak lain pula akan sogok dan akan jual negara ini.

“Bolehkah kita pandang ringan rasuah?” soalnya.

Katanya lagi, penerimaan amalan rasuahlah yang sebenarnya akan hancur orang Melayu.

“Rasuah oleh penyangak, musuh dan orang asing pun boleh tentukan siapa jadi Kerajaan Malaysia.

“Apabila mereka ini menjadi Kerajaan Malaysia, nasib orang Malaysia tidak lagi akan dilindungi oleh mereka. Sudah tentu Melayu akan jadi mangsa terbesar.

“Inilah sebabnya yang orang Melayu tolak cadangan British untuk membentuk Malayan Union. Dalam Malayan Union siapa sahaja boleh jadi warganegara Malaya dan bentuk Kerajaan. Secara langsung Melayu akan dijajah,”katanya.

Justeru beliau yakin dan percaya dengan cara itu akan hilang dan hancurlah bangsa Melayu.

Apatah lagi sekarang katanya, semangat Kebangsaan sudah hilang yang ada sekarang hanya ketamakan sehingga apa yang akan terjadi kelak ianya bukan satu tanggungjawab.

“Apa aku dapat sekarang. Apa jadi esok bukan tanggungjawab aku.

“Oleh itu terima sahajalah sogokan.

“Hak mengundi bertujuan Kerajaan yang terbaik dipilih.

“Jual undi mengundang penyangak, penyamun sebagai Kerajaan.

“Ringankah jenayah rasuah? soalnya.

Katanya, orang Melayu memandang ringan terhadap amalan Rasuah tetapi rasuah dalam negara demokratik boleh pisahkan orang Melayu dari negara mereka, boleh hancur orang Melayu.

“Dalam demokrasi rakyat diberi hak memilih Kerajaan. Kepercayaan kita ialah rakyat tentu bijak dalam memilih wakil mereka yang akan tubuh Kerajaan.

“Malangnya kuasa memilih ini terdedah kepada rasuah – iaitu kuasa ini boleh dijual. Dan mereka yang mampu membeli, berpeluang untuk letak calon mereka dan tentukan kemenangan mereka.

“Inilah sebabnya yang cogan kata “Cash is King” atau Wang itu Raja dijadikan kepercayaan Dato’ Sri Najib. Dengan duit, undi rakyat boleh dibeli dan Najib boleh dirikan Kerajaan sampai bila-bila.

“Hari ini Najib. Dan kita dapat lihat kerosakan yang dilakukan olehnya. Bukan sahaja duit Kerajaan diselewengkan, tetapi jentera Kerajaan dapat disalahguna supaya dianya bebas dari sebarang tindakan. Maka akan hilanglah pemerintahan mengikut undang-undang (rule of law),” katanya.