Hari ini Umno lebih terbuka, siapa kata saya tidak demokratik? soal Najib

Hari ini Umno lebih terbuka, siapa kata saya tidak demokratik? soal Najib

Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata, hari ini Umno lebih terbuka dan demokratik berbanding masa lalu, sejak beliau mengambilalih tampuk kepimpinan Umno.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Azizul Halim Yahya dalam satu temubual eksklusif diadakan sempena Ulang Tahun ke-70 Umno, baru-baru ini seperti dilapor UmnoOnline.

Kata Najib apabila beliau mengambil alih tampuk kepimpinan Umno, salah satu daripada langkah awal yang dilakukan ialah untuk mengubah Perlembagaan Umno, supaya Perlembagaan Umno menjadi lebih terbuka, lebih inklusif dan lebih demokratik.

“Ini dapat kita lihat dari segi pemilihan presiden parti umpamanya dan juga jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

“Di mana kalau dahulu, presiden parti umpamanya dipilih berdasarkan kepada sistem kuota dan kalau sesiapa hendak bertanding jawatan presiden Umno, mesti memperolehi 63 bahagian mencalonkan.

“Cuba bayangkan dalam keadaan sedemikian menggunakan perlembangaan sebelum ini. Tak mungkin ada sesiapa yang mampu mencabar presiden Umno.

“Jadi kalau saya hendak kekal sampai bila-bila dan selama saya mana rasanya saya patut turun, saya gunakan perlembagaan lama, sebab dalam perlembagaan lama, tiada siapa yang mungkin boleh mencabar presiden Umno.

“Tetapi sebaliknya, saya ubah perlembagaan Umno di mana presiden parti dipilih oleh 160,000 perwakilan di peringkat akar umbi. Bukan lagi yang 2,600 lebih kurang yang datang ke Kuala Lumpur di Dewan PWTC yang memilih. Tetapi 160,000 di seluruh negara di tiap-tiap bahagian,” ujar  Presiden Umno ke-7 ini sejak Umno ditubuhkan pada 1946.

Beliau yang juga perdana menteri berkata, sebagai seorang pemimpin parti beliau berhasrat untuk mengubah falsafah dan kaedah pemilihan dalam Umno supaya Umno dilihat lebih terbuka, lebih demokratik.

“Itulah saya amalkan dan saya adalah presiden Umno yang pertama dipilih mengikut sistem yang paling terbuka dan paling demokratik dalam sejarah Umno.

“Jadi, kalau sesiapa kata saya tidak demokratik, hakikat dan fakta sebenarnya adalah sebaliknya.” ujarnya.

Antara lain beliau turut menegaskan bahawa ahli Umno mesti menjaga kepentingan parti.

” Bukan tak boleh kritik, tetapi dalam parti, kita mesti ada saluran dan disiplin. Kalau parti tidak ada disiplin dan tidak hormati amalan-amalan yang tidak menjejaskan kepentingan parti, maka parti akan berdepan dengan keadaan yang menggugat kestabilan dalam parti.

“Jadi sebab itu, saya kata sesiapa ada perbezaan pendapat pun, bawa dalam mesyuarat, bawalah mengikut saluran betul, kita boleh bincang dan mencapai keputusan berdasarkan semangat musyawarah, konsensus dalam parti.

“Itulah cara kita membuat keputusan dalam parti. Bukan kehendak seorang. Walaupun seorang itu bekas pemimpin, dia tidak boleh tentukan dasar atau apa-apa keputusan dalam parti. Tetapi parti mesti membuat keputusan berdasarkan kepada perlembangaan parti.” ujarnya.

Semalam Setiausaha Agung Umno Datu kSeri Tengku Adnan Tenhku Mansor berkata, sambutan ulang tahun Umno pada Khamis ini di PWTC dengan bacaan tahlil dan doa selamat untuk mengenang jasa pemimpin dan pejuang Umno terdahulu serta memberingati mangsa nahas helikopter khamis lalu, membabitkan dua ahli parlimen dari Umno, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

TAGS