Hari Kamishibai Sedunia bawa mesej keamanan

Hari Kamishibai Sedunia bawa mesej keamanan

Malaysia hari ini menyertai beberapa negara lain yang buat julung kalinya menyambut Hari Kamishibai Sedunia 2018.

Acara anjuran Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja-remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama The International Kamishibai Association of Japan (ICAJA) itu  dianjurkan serentak dengan negara seperti Perancis, Chile dan Switzerland.

Kamishibai, yang bermakna drama kertas, merupakan satu bentuk penceritaan berasal dari Jepun yang menggunakan gambar-gambar pada gulungan kertas yang dipaparkan pada skrin kotak untuk menyampaikan pengajaran moral dan mesej penting.

Dalam acara yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia di sini, kira-kira 20 pengunjung dipersembahkan dengan teknik penceritaan kanak-kanak yang bertajuk ‘Together Clap Hand’ dan ‘Cantiknya Pantai Kariyushi’ oleh pencerita Samsul Khamariah Hamzah, yang juga Timbalan Setiausaha Kehormat MBBY.

Samsul Khamariah berkata tarikh 7 Dis dipilih oleh ICAJA sebagai Hari Kamishibai Sedunia kerana bertepatan dengan tarikh pengeboman Pearl Harbour di Amerika Syarikat oleh Jepun di bibit-bibit permulaan Perang Dunia Kedua.

“Justeru, tarikh ini dipilih untuk menggambarkan tentang keamanan dan Jepun tidak mahu peristiwa hitam ini berlaku lagi di dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penceritaan Kamishibai di sini.

Selain itu, beliau memaklumkan teknik penceritaan Kamishibai turut berpotensi besar untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan di negara ini melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sebenarnya teknik (Kamishibai) ini sesuai digunakan di peringkat pra sekolah daripada kanak-kanak hingga guru-guru dalam pembelajaran.

“Teknik ini juga sesuai diterapkan dalam mata pelajaran yang memerlukan hafalan seperti sejarah, dan mampu menarik minat apabila melibatkan penceritaan dan bergambar,” katanya.

— BERNAMA