Malaysia Dateline

Hari Kerajaan Lembab Sedunia, netizen sindir Pemuda Pas sambut Hari Tanah Lembap

“Eloklah, depa pun lembap. Patutlah sambut.” Itu antara sindiran warganet apabila Dewan Pemuda Pas berkongsikan poster sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia semalam.

Walaupun sambutan bagi mengingati kepentingan tanah lembap meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai itu baik tetapi dipandang ‘serong’ apabila Pas meraikannya.

“Eloklah. Sambut sekali Hari Kerajaan Lembab Sedunia,” sinis Hadif Putra pula.

Bahkan, situasi sedih yang dialami pendakwah Ebit Lew apabila diberitahu boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun ekoran misi bantuan di pulau-pulau sekitar Semporna, Sabah turut dikaitkan.

“Pas pun lembab dalam bab Islam,” kecam ringkas Ariff Kadir Al-Katami sambil melampirkan tangkap layar Ebit berkenaan isu panas itu.

Sindiran kerajaan lembab itu dilihat merujuk kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lembab dalam menangani impak penularan Covid-19 terhadap ekonomi rakyat dan negara.

Selain itu, Pas yang menerajui negeri Kelantan dan Kedah juga dikutuk wargahet sebagai cakap tidak serupa bikin apabila meneruskan aktiviti pembalakan hingga memusnahkan alam sekitar.

Kerajaan negeri Pas diselar kerana tidak kreatif untuk mencari alternatif bagi tujuan mencari pendapatan sebaliknya masih menjadikan aktiviti pembalakan yang memusnahkan hutan sebagai sumber ekonomi negeri.

Tujuh Tapak Ramsar

Tanah lembap yang menjadi habitat kepada kepelbagaian spesis flora serta fauna terutamanya burung hijrah berperanan sebagai perlindungan daripada bencana termasuk tsunami, kawasan tadahan air, kawasan pembiakan, kawalan banjir dan menyerap karbon.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan sempena Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut semalam berkata, sebanyak 40 peratus daripada spesies seluruh dunia hidup dan membiak di kawasan tanah lembap manakala lebih 200 jenis ikan baharu ditemui setiap tahun di tanah lembap darat.

Semalam juga, genap 50 tahun penubuhan Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai Konvensyen Ramsar pada 2 Februari 1971.

Malaysia sehingga kini mendaftar tujuh kawasan sebagai Tapak Ramsar iaitu Tasek Bera, Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai, Johor; Kuching Wetland National Park, Sarawak; Lower Kinabatangan – Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah.

Kesemua tapak tersebut dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.