Hari Malaysia hari sembuhkan negara

Oleh ARIF ATAN

Saya bangga dengan nama Malaysia kerana ia adalah identiti kita. Sejarah panjang negara telah membawa kita kepada 16 September 1963 dalam pembentukan sebuah negara Persekutuan moden bernama Malaysia.

Pembentukan Malaysia pada hari ini adalah permulaan semangat jiwa besar kesemua pihak dari wilayah dan latar kaum berbeza disatukan di bawah sebuah Persekutuan. Jikalau Merdeka 1957 adalah sebuah perjuangan pembebasan maka Hari Malaysia adalah perjuangan membentuk identiti yang satu sebagai rakyat Malaysia.

Hari ini kita memaknai erti satu simbol, satu entiti dan satu watan. Semua Malaysia adalah satu bangsa walau keturunan kita berbeza. Kesatuan satu bangsa inilah yang patut menyatukan kita dan membanggakan kita, kita adalah Bangsa Malaysia.

Latar keturunan dan kaum adalah sejarah kita manakala agama adalah petunjuk untuk kita menjadi bangsa Malaysia yang berguna dan bermanfaat untuk negara.

Janganlah latar pelbagai ini menjadi alasan kepada kebencian, permusuhan dan ketegangan. Jadilah hari ini sebagai jambatan kukuh menyatukan kepelbagaian ini atas cintakan kepada negara dan bangsa kita.

Ketahanan diri kita berada dalam persimpangan yang sangat kritikal. Pandemik mengajar kita erti menghargai nyawa, erti meneruskan kehidupan dan erti menjaga sesama kita.

Hanya keutuhan kita sebagai satu bangsa Malaysia sahaja yang mampu menyuntik semangat ketahanan diri sebagai syarat untuk kita masuk Fasa Pemulihan seterusnya.

Bersempena 16 September ini kita perlu ambil peluang untuk kita sembuhkan negara dari segala cabaran yang melanda negara samada dari sudut krisis politik, sosial mahupun ekonomi.

Lebih rapat kita berganding bahu lebih cepat proses penyembuhan negara akan berlaku.