Malaysia Dateline

Hari Malaysia: Kekayaan negara perlu dikongsi bersama, rakyat perlukan pembelaan

Sambutan Hari Malaysia ke 58 pada hari ini menguji seluruh rakyat dengan pandemik Covid-19 dengan jumlah kematian yang amat kritikal mencecah angka 21,587 orang.

Perkara ini tidak harus dipandang enteng, sebaliknya kerajaan perlu bertindak lebih agresif demi menyelamatkan nyawa rakyat dengan menambah kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tenaga kerja bagi meningkatkan ‘support system’, serta membuka pusat kuarantin dan meningkatkan proses vaksinasi.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, pengurusan pandemik yang cekap amat mustahak bagi menjamin kelangsungan negara Malaysia.

“Sejarah telah membuktikan penubuhan Malaysia adalah melalui satu perjanjian dan gabungan antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (Borneo). Manakala hak rakyat Sabah dan Sarawak perlu diperkukuhkan melalui pelaksanaan MA63 secara keseluruhannya yang telah dimeterai serta harus dihormati.

“Tiada diskriminasi dan kelas antara geografi, dan semangat federalisma harus dijunjung tinggi bagi menjamin keharmonian rakyat. Ia merupakan kontrak sosial yang mengikat semua bangsa bahawa bumi tercinta ini adalah milik semua rakyat.

“Jangan ada seorang pun yang dicicirkan daripada arus pembangunan dan hak ekonomi atas nama ras mahupun bangsa. Malahan kedudukan setiap warganegara adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan termasuk hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam yang mana kedua-duanya merupakan tiang seri negara yang perlu diperkukuhkan dan dipelihara,”katanya.

Tambah beliau, sebenarnya bangsa dan agama bukannya alat murahan bagi meraih sokongan politik, tetapi untuk diangkat martabatnya demi kestabilan negara.

Yang penting katanya, kekayaan negara harus dikongsi bersama dan amalan yang kaya terus kaya, yang miskin terus papa kedana perlu dibuang daripada dasar ekonomi negara.

Faiz yang juga merupakan Adun Permatang Pasir turut berkata, perut rakyat yang lapar perlu diambil peduli dan hasil sumber negara yang menjadi hak rakyat sewajarnya dikembalikan serta strategi merangsang ekonomi perlu disusun bagi menjamin peluang pekerjaan supaya ekonomi rakyat dapat dipulihkan.

Selain itu sarannya, Malaysia untuk bangsa Malaysia harus dijulang sebagai agenda utama negara dan rakyat amat memerlukan pembelaan.

Lantaran itu apa jua MOU yang disepakati tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya hidup rakyat tetap statik tidak berubah dan pemerintah pula tetap tidak berganjak tanpa apa-apa perubahan.