Malaysia Dateline

Hari Pekerja bertujuan memperingati perjuangan, pengorbanan golongan buruh

“Saya sejujurnya lebih cenderung menggunakan perkataan Hari Buruh berbanding Hari Pekerja. Semangat dan signifikannya berbeza.”

Itu pandangan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi sempena Hari Pekerja yang jatuh pada hari ini.

Beliau berkata, Hari Buruh merujuk kepada perkataan ‘Buruh’ atau ‘Labour’ dalam Bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan pekerjaan yang menggunakan kudrat dan tenaga manusia secara manual.

Katanya, ia sepatutnya dipanggil Hari Buruh kerana individu yang melakukan kerja pentadbiran, perkeranian, perguruan atau sebarang kerja yang tidak menggunakan kudrat tulang empat kerat dalam menghasilkan sesuatu, ianya tidak termasuk dalam kategori buruh pada asalnya.

“Mungkin untuk memudahkan sambutan diadakan secara sekali gus, maka nama Hari Buruh ditukarkan kepada Hari Pekerja.

“Kini ramai dilihat tidak menjiwai semangat Hari Buruh dan hanya kerap mengaitkannya sebagai hari berehat-rehat untuk kelompok mereka yang bekerja.

“Hari Buruh atau kebiasannya disebut sebagai Hari Pekerja bukanlah sekadar hari bagi cuti umum dalam kalendar cuti sesebuah negara.

“Hakikatnya, sejarah sambutan Hari Pekerja dibaca Hari Buruh) diwujudkan bagi memperingati perjuangan buruh yang menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja ketika revolusi industri berkembang pesat di Barat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aiman Athirah menambah, baik pekerja mahupun pihak majikan, Hari Pekerja sepatutnya dijadikan renungan dan pedoman kepada kepekaan terhadap beberapa aspek.

“Aspek-aspek itu adalah seperti keadilan, kejujuran, amanah dan tanggungjawab dalam konteks bekerja, selain daripada memikirkan produktiviti dan keuntungan semata-mata.

“Ia tidak lagi hanya berkisar tentang gaji, waktu kerja atau cuti sahaja, tetapi merangkumi pelbagai signifikan yang lebih penting seperti jaringan keselamatan sosial, imbuhan setara tanpa mengira jantina, kebajikan dan persaraan pekerja,” ujarnya lagi.