Malaysia Dateline

Hari penentuan Ahmad Zahid

Nasib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diketahui hari ini dalam pendengaran kesnya berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Media yang berkampung di Mahkamah Tinggi hari ini melaporkan, imej Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kelihatan di perkarangan mahkamah pada jam 9.04 pagi ini

Keputusan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan atau dipanggil untuk membela diri akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Turut hadir ke mahkamah adalah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.