Hari pertama inkues Adib: Trak dibaling objek keras, perusuh halau bomba

Hari pertama inkues Adib: Trak dibaling objek keras, perusuh halau bomba

Situasi semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 Subang, pada 27 November tahun lalu diceritakan kembali dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner, Shah Alam hari ini bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya, DSP Mohamad Nasir Drahman memberitahu jentera penyelamat kebakaran (FRT) yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di kuil itu dikelilingi orang ramai dan dibaling dengan objek keras sehingga pecah cermin hadapan.

“Jentera FRT hadapan dikelilingi oleh orang ramai dan dibaling batu.

“Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum ke hadapan dan kembali mengundur, mengundur hingga hilang daripada penglihatan saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah.

Sementara itu, seorang pemandu trak bomba yang ditugaskan ke kuil tersebut berkata, beliau mengundurkan kenderaannya dalam keadaan panik selepas dihalau sekumpulan perusuh.

Saksi kedua dalam inkues itu, Md Eliza Mohd Noor berkata, perusuh menjerit,”bomba pergi balik, jangan padam!”

Jelasnya, cermin hadapan trak bomba yang dipandunya kemudian dilemparkan batu dan topi keledar.

Md Eliza memberitahu pasukannya terdiri daripada pegawai penyelia dan lima anggota pada awalnya ditugaskan dari stesen bomba Subang Jaya bagi memadamkan api untuk sebuah kereta yang terbakar.

Mereka yang diiringi van pasukan perubatan kecemasan bomba dengan Adib bertugas sebagai pegawai perubatan tiba di kawasan itu sekitar 1.12 pagi pada 27 November tahun lalu.