Hari Sastera Nasional atau Hari Sastera Islam Kelantan?

Oleh ARIF ATAN

Hari Sastera sudah diadakan sejak lima dekad bermula 1972 lagi. Sepanjang tempoh itu, sudah 18 kali diadakan, dan itu juga agak banyak.

Walau bagaimanapun, adakah kesan dan matlamat baik yang diharapkan daripadanya tercapai? Adakah masalah yang berkaitan dengannya dapat diselesaikan atau berterusan tiada kesudahan menjadi endemik?

Sememangnya, saya bukan pesertanya yang tegar walaupun sangat berminat. Seingat saya, saya hanya menyertainya pada 1993 di Shah Alam, dan pada 2012 di Melaka.

Begitu juga dengan yang baru berlangsung di Kota Bharu pada 4, 5 dan 6 Ogos lalu. Saya tidak menyertainya kerana berhalangan.

Demikianlah Hari Sastera yang tidak diadakan setiap tahun. Hari Sastera di Pantai Cinta Berahi Resort beberapa hari lalu ialah Hari Sastera ke-18 (HS18), sekali gus menyambut Jubli Emas atau ulang tahunnya yang ke-50.

Kebetulan Hari Sastera pertama juga berlangsung di Kota Bharu. HS18 dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP), Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Persatuan Penulis Kelantan (PPK), serta Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA).

Kira-kira 200 peserta dari seluruh negara menghadiri HS18 yang bertemakan Islam dan Sastera Kebangsaan.

Hari Sastera ke-18 telah berlangsung di Kota Bharu.

Berdasarkan isu perbincangan dan pemakalah, seorang penulis yang juga anak kelahiran Kelantan mengkritik menyatakan ketidakpuasan hati, malah kebimbangan. Katanya, adakah HS18 hari sastera negeri Kelantan? Ironisnya, beliau juga salah seorang petugas HS18.

Seorang penulis lain yang bukan dari Kelantan menganggap HS18 gagal sebelum ia bermula lagi berdasarkan isu perbincangan, dan pemakalahnya. Katanya, sastera itu sejagat. Jadi, mengapa dikelas-kelaskan kepada Islam dan tidak Islam?

Antara perkara yang dibincangkan ialah Sastera Islam di Kelantan oleh Abham TR, Rosli K Matari, dan Abdul Hadi Yusof (ahli panel), serta Pengarah DBP Wilayah Timur, Mohd Azam Juhari (pemudah cara); dan forum Keberadaan Sastera dalam Dauliah Islam dengan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan; Pengurus Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman; dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Datuk Dr Johari Mat (ahli panel), serta Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifli Abdul Rahman (pemudah cara).

Seterusnya, Apresiasi Sastera Islam oleh Sallehuddin Mohamad, Hamzah Hamdani, Datuk Jasni Matlani, dan Prof Dr Ismail Hashim (ahli panel), serta Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad (pemudah cara), dan ucap utama berjudul Islam dan Sastera Kebangsaan oleh Pengerusi PERADABAN, Dato’ A Aziz Deraman, dengan Ketua Dua GAPENA, Amiruddin Md Ali Hanafiah sebagai pemudah cara.

Setakat yang saya fahami, Islam dan sastera sama-sama mengajak ke arah kebaikan. Justeru kerana itulah ada sastera dalam Islam, cuma perlu berlandaskan kemurnian Islam dan mentauhidkan Allah SWT.

Jika mengikut logik, tidaklah hanya penulis beragama Islam yang menghasilkan karya sastera Islam. Walau bagaimanapun, itu belum lengkap kerana penulis bukan Islam tidak beriman yang sekali gus tidak mengamalkan kemurnian Islam dengan ketauhidan Yang Maha Esa.

Saya juga ingin bertanya mengapakah membincangkan sastera Islam kerana Hari Sastera berlangsung di Kelantan? Negeri lain tidak sesuai? Adakah Kelantan negeri contoh terbaik mengamalkan Islam?

Jolokan ‘negeri serambi Mekah’ tidak dinafikan. Namun demikian, sejak ketiadaan Tok Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, Kelantan tidak lagi Islamik. Hal ini terserlah apabila kepimpinannya yang diterajui PAS menyokong, dan bersekongkol dengan Umno membentuk kerajaan yang sedia maklum dipanggil ‘Kerajaan Tebuk Atap’.

Saya juga mahu bertanya adakah Hari Sastera termasuk HS18 ini sekadar hari lanjutan tradisi pertemuan para penulis (terutama pemimpin persatuan penulis di bawah GAPENA) yang berpeluang hadir ‘makan angin’ di tempat acara, dan persekitaran? Adakah ia sekadar mengulang-ulang dan terus membincangkan perkara-perkara yang tidak selesai-selesai sejak dari dahulu lagi?

Perkara sastera Islam pernah dibincangkan, malah turut menjadi polemik antara Allahyarham Dato’ Shahnon Ahmad (ketika belum Sasterawan Negara) dengan Allahyarham Kassim Ahmad pada dekad 70-an, dan 80-an.

Lihatlah hasil ucapan perasmian dan penutup, serta pembentangan kertas kerja dan forum, HS18 merumuskan resolusi berikut:

  • digiatkan usaha mengukuhkan kefahaman tentang Islam sebagai teras Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971) yang harus dijelmakan dalam hasil karya sastera kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan citra jati diri bangsa, dan negara Malaysia.

  • diusahakan galakan dan dorongan menghasilkan karya sastera kebangsaan berteraskan Islam melalui sayembara penulisan dan penerbitan pelbagai genre (puisi, cerpen, novel, esei kritikan, drama, cerita kanak-kanak dan remaja) dengan ganjaran nilai hadiah yang sewajarnya.

  • diaturkan rancangan Gerakan Kesedaran Islam dan Sastera Bangsa oleh pihak-pihak agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta untuk menjayakan pelbagai program berkaitan Islam dan sastera Melayu pada peringkat Malaysia, Asia Tenggara, dan antarabangsa.

  • diwujudkan satu Anugerah Sastera Islam pada peringkat Asia Tenggara bagi mengiktiraf tokoh sasterawan yang memberikan sumbangan cemerlang dalam penciptaan karya sastera berteraskan Islam.

  • mengiktiraf tokoh sarjana bahasa Melayu yang melahirkan teori sastera Melayu-Islam melalui usaha penerbitan buku dalam bahasa Melayu, dan penterjemahan ke pelbagai bahasa untuk khalayak antarabangsa. Sumbangan mereka wajar diiktiraf melalui Anugerah Persuratan Islam yang berprestij tinggi.

  • mencadangkan kepada Kerajaan Kelantan Darul Naim mengadakan persidangan bagi membincangkan sumbangan para ulama, cendekiawan dan sasterawan Kelantan yang telah melahirkan karya sastera, dan ilmu persuratan Islam.

  • merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kelantan Darul Naim yang telah mendukung usaha menjayakan Hari Sastera ke-18 di Kota Bharu, Kelantan, sebagai sambutan ulang tahun ke-50 Hari Sastera (1972-2022).

Perasmian HS18 disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob. Perasmian penutupnya pula dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato’ Haji Md Anizam Abdul Rahman.

Baca juga Benarkah anda anak keturunan Melayu? Cuba jawab 20 teka-teki berusia lebih 100 tahun ini

Baca juga Buat lagu hina Islam, penyanyi berang saluran YouTube digantung