Malaysia Dateline

Hari Usahawan Negara 2019 platform perkasakan usahawan tempatan pada Disember

Sambutan Hari Usahawan Negara (HUN) 2019 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 28 Nov hingga 2 Dis depan bakal menjadi platform memperkasakan usahawan tempatan.

Pengerusi HUN 2019 yang juga Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata acara julung kali itu bertujuan memartabatkan usahawan dalam negara serta mengiktiraf peranan mereka sama ada usahawan kecil, pertengahan dan juga yang telah berjaya di peringkat antarabangsa.

“Pelbagai aktiviti dan program berkaitan keusahawanan akan diadakan seperti penganjuran bengkel, forum dan juga pembukaan gerai jualan. Ia juga platform berkongsi ilmu antara usahawan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena pelancaran HUN 2019 di sini, malam ini.

Katanya, HUN 2019 anjuran DPUKM yang diadakan di Presint 2 di Putrajaya itu bakal menyaksikan lebih 1,000 syarikat usahawan berdaftar menyertai lot pameran yang terdiri daripada pelbagai industri termasuk pembuatan, perkhidmatan dan makanan.

Ia juga akan melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyempurnakan majlis perasmian sambutan itu pada 30 Nov.– BERNAMA