Harimau masuk kampung petanda hutan simpan musnah tahap kritikal

Harimau masuk kampung petanda hutan simpan musnah tahap kritikal

Kemunculan dua ekor harimau di Kampung Besul, Bukit Besi, Dungun semalam petanda bahawa kemusnahan hutan semula jadi yang menjadi habitat haiwan itu adalah di tahap kritikal.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, spesies Harimau Belang atau Harimau Malaya yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia itu semakin terancam dan membimbangkan akibat pemusnahan dan fragmentasi hutan.

Menurutnya, lokasi kemunculan harimau itu terletak di daerah Hulu Terengganu yang mempunyai tiga kawasan Hutan Simpan (HS) iaitu HS Besul seluas 6,972 hektar, HS Besul Tambahan (2,515 hektar) dan HS Jerangau (21,661 hektar).

“Ketiga-tiga kawasan HS ini membentuk kompleks hutan manakala HS Jerangau memang masih merupakan habitat Harimau Belang utama di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya, kerajaan negeri Terengganu sekitar tahun 2015 telah meluluskan kegiatan perlombongan melibatkan kira-kira 2,553.2 hektar di HS Besul Tambahan yang mungkin melibatkan juga kawasan hutan berstatus Tanah Kerajaan.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

“Hampir keseluruhan Hutan Simpan Besul Tambahan telah dimusnah dan dieksploitasi untuk tujuan perlombongan.

“Ini bermakna segala kayu-kayan dalam hutan simpan tersebut diusahasil secara tebang habis dan kemudiannya dilakukan kegiatan perlombongan.

“Apa yang mendukacitakan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2015, kegiatan pengusahasilan kayu-kayan dan perlombongan tersebut dilakukan tanpa penyediaan dan mendapat kelulusan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar),” luahnya.

Beliau turut memberitahu dalam tinjauan lapangannya di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Besul Tambahan pada 2014 mendapati seluas 476 hektar di kompartmen lima telah diluluskan untuk pembalakan jenis tebang habis bagi tujuan pembangunan.

 

Huruf P dalam kurungan selepas nombor lesen bermaksud pembalakan jenis tebang habis dan kemudiannya dilakukan aktiviti guna tanah yang dicadangkan.

 

Hampir 400 hektar kawasan di Hutan Simpan Besul Tambahan diluluskan untuk projek lombong pada 2014.

“Tidak silap saya, ada enam kesemuanya kelulusan membalak untuk tujuan perlombongan. Kemudian ada kelulusan baru pula untuk ladang hutan di HS Jerangau bersambung dengan HS Besul Tambahan,” ujarnya menggambarkan keluasan HS yang musnah sekali gus menjejaskan habitat Harimau Malaya yang menjadi lambang rasmi Malaysia iaitu dalam Jata Negara selain institusi seperti PDRM, Maybank dan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

Ditanya tentang kaitan kelulusan sedemikian dengan kemunculan harimau belang, beliau berpendapat masih wajar memandangkan hal tersebut merupakan permulaan kegiatan dan eksploitasi kawasan hutan.

“Apabila HS Besul Tambahan sudah habis digondol kemungkinan harimau lari ke HS Jerangau tetapi sekarang Jerangau pun mahu dijadikan ladang hutan seluas 5,000 termasuk juga kegiatan usahasil kayu-kayan guna kaedah SMS (sistem pengurusan terpilih).

“Untuk kegiatan pembalakan sahaja seluas lebih 2,000 hektar akan mengambil masa dalam lingkungan dua tahun. Selepas habis semua usahasil hutan baru dilakukan kegiatan perlombongan yang mengambil masa lebih lama,” jelasnya.

Untuk rekod, pada April lalu, orang awam dimaklumkan boleh menyemak Laporan EIA projek ladang hutan komersial di HS Jerangau, Dungun seluas 5,000 hektar Fasa 1.

Seluas 5,000 hektar HS Jerangau di Hulu Terengganu bakal ‘botak’ akibat pembukaan ladang hutan.

 

Langgar

Mengulas lanjut, Meor Razak berkata, lebih mengecewakan apabila kerajaan negeri Terengganu telah melanggar ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN) pada 2014.

Ketetapan tersebut, jelasnya, menyarankan semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK.

Sehubungan itu, kegiatan perlombongan dan kuari, tambahnya lagi, boleh memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Mengikut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Negeri Terengganu 2017 Siri 1, sebanyak 656,550.1 hektar atau 51 peratus daripada keluasan negeri Terengganu merupakan kawasan berhutan.

Berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Hutan Negeri Terengganu 2016 pula, sebanyak 544,883.38 hektar iaitu 83 peratus daripada keluasan kawasan hutan tersebut merupakan kawasan HSK.

Pengurusan hutan di Terengganu diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) untuk menguruskan sumber hutan secara berkekalan bagi pengeluaran berterusan hasil, meningkatkan bekalan pengeluaran hasil dan membangunkan teknologi mantap yang bersesuaian dengan keperluan alam sekitar.

Hasil hutan Terengganu berjumlah RM94.56 juta bagi tempoh 2015 hingga 2017 yang terdiri daripada kutipan hasil pembalakan berjumlah RM90.85 juta dan hasil-hasil lain berjumlah RM3.71 juta manakala kutipan ses bagi tempoh tersebut adalah berjumlah RM16.07 juta.

Walau bagaimanapun, pengauditan antara bulan November 2017 hingga Januari 2018 mendapati pengurusan hasil pembalakan secara keseluruhannya tidak cekap.

LKAN 2017 mendedahkan sejumlah RM0.84 juta hasil pengusahasilan hutan terkurang kutip disebabkan kesilapan pengiraan premium penyambungan lesen dan pengurangan pampasan/ganti rugi pokok di jalan sekunder.

 

Kehilangan hasil

Selain itu, kelulusan pampasan/ganti rugi pokok di jalan sekunder tidak mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menyebabkan Terengganu kehilangan hasil berjumlah RM0.21 juta.

Pada masa sama, penggantian kawasan HSK hanya 103.8 hektar atau 1.2 peratus daripada 8,507.30 hektar HSK yang diwarta keluar.

Sehubungan itu, audit berpendapat penggantian dan pewartaan masuk yang tidak setara dengan pewartaan keluar menyebabkan pengurangan keluasan HSK yang boleh menjejaskan pengeluaran kayu, pemuliharaan tanah dan air serta pembangunan ekonomi negeri.

HSK juga berdepan ancaman aktiviti menyalahi peraturan yang menjejaskan sumber hutan. LKAN 2017 melaporkan seramai 135 orang telah ditangkap dan sebanyak 62 jentera atau kenderaan telah dirampas atas kesalahan pencerobohan dan kecurian balak.

Menurut JPNT, pemantauan darat dan udara meliputi kawasan pengusahasilan, kawasan HSK serta pemantauan transit dan rondaan bagi memantau lori yang membawa muatan kayu balak.

Itu berdasarkan rekod penguatkuasaan dan pemantauan termasuk 41 kali penggunaan dron pada 2017 yang dilaksanakan oleh Unit Operasi dan Penguatkuasaan di JPNT dan setiap Pejabat Hutan Daerah di Terengganu.

Aktiviti pencerobohan HSK di luar penguatkuasaan dan pemantauan dibimbangi melebihi daripada angka rasmi dikeluarkan.

Seluas 8,507.3 hektar Hutan Simpan Kekal di Hulu Terengganu dinyahwarta sekali gus dilihat mengancam habitat hidupan liar termasuk harimau. Sumber: LKAN 2017.