Harrif tawan peringkat kedua LTdL 2019

Harrif tawan peringkat kedua LTdL 2019

Mohamed Harrif Salleh berjaya menamatkan kemarau pelumba negara memenangi perlumbaan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) selama sembilan tahun apabila menjuarai peringkat kedua edisi 2019 dari Senawang ke Melaka hari ini.

Pelumba berusia 30 tahun daripada  pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) itu menamatkan saingan sejauh 200.6 kilometer dalam kelompok besar apabila tiba di garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 53 minit 20 saat.

Beliau menewaskan pelumba tersohor siri LTdL, Andrea Guardini, daripada pasukan Bardiani CSF, di tempat kedua  dan pelumba skuad kebangsaan Jepun, Kazushige Kuboki di tempat ketiga.

Harrif muncul pelumba kedua negara merakaman kejayaan peringkat selepas Anuar Manan pada edisi 2010.

“Kemenangan ini sangat bermakna bagi saya kerana selepas lima tahun berkahwin, isteri saya (Nursyahira Nordin, 27) baru tiga bulan mengandung, jadi saya mahu memberikan hadiah istimewa kepadanya dan kini saya boleh menghadiahkan kemenangan ini kepadanya,”kata Harrif.

“Perlumbaan hari ini memang mencabar kerana banyak pelumba pecut yang bersaing tetapi saya menggunakan pengalaman yang saya miliki dengan sebaik mungkin untuk menang. Selepas mengharungi cabaran laluan berbukit semalam, saya tahu ada peluang besar pada laluan hari ini.

“Apabila berbaki 1km sebelum garisan penamat, saya mencari Guardini dan mengikutinya. Kira-kira 200m sebelum garisan penamat, beliau sudah hilang tenaga, jadi saya mengambil kesempatan itu dengan keluar memecut sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Sebagai rekod, Harrif meraih lima kedudukan podium dalam sembilan penampilan sejak 2011.

Sementara itu, juara peringkat pertama semalam, Marcus Culey dari Australia, mengekalkan jersi Kuning selaku pendahulu kerseluruhan  dengan jumlah catatan masa 9 jam 13 minit dan 47 saat.

Pelumba pasukan Team Sapura Cycling (TSC) berusia 25 tahun itu, yang menamatkan saingan di tangga ke-67 dalam pecutan berkelompok, turut mengekalkan jersi Hijau selaku Raja Pecut dengan mengumpul 25 mata diekori  rakan senegara Michael Freiberg daripada pasukan Pro Sunshine Coast (20 mata) dan pelumba Bardiani CSF, Paolo Simion dari Itali dengan 19 mata,.

Seorang lagi pelumba Australia, Angus Lyons (Oliver’s Real Good Racing) turut mengekalkan jersi Merah, selaku Raja Bukit dengam 34 mata manakala pelumba Korea Selatan, Jihun Kim (KSPO Bianchi Asia Pro Cycling) merampas jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia daripada pelumba Kazakhstan, Grigorly Sheten dengan kelebihan dua saat apabila mengumpul catatan masa  9’14:03s.

Pelumba negara, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri muncul sebagai pelumba terbaik negara walaupun berkongsi catatan masa keseluruhan  9’14:05s dengan pelumba TSC, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dan tempat ketiga disandang oleh seorang lagi pelumba negara, Muhammad Zawawi Azman.

Pasukan TSC mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan dengan jumlah catatan masa 27’42:10s diikuti pasukan Itali, Bardiani CSF (27’42:15s) dan pasukan Afrika Selatan, Protouch dengan jumlah catatan masa 27’42:15s).

Saingan peringkat ketiga esok melibatkan perlumbaan sejauh 192.6km dari Stadium Ibrahim, Muar ke Dataran Putrajaya dengan tiga zon pecutan di Simpang Ampat (KM72.6), Lubok Cina (KM90.1) dan Lukut (KM131.1) serta satu zon pendakian kategori tiga di Bukit Pelanduk (KM131.1). -Bernama