Biro Undang-Undang Parti AMANAH Negara (KANUN) menyediakan talian hotline 010-4587548 kepada mana-mana doktor atau pekerja kesihatan yang dikenakan sebarang tindakan intimidasi atas sebarang penglibatan dalam gerakan Hartal Doktor Kontrak, esok.
Naib Pengerusi KANUN, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, pihaknya sedia maklum bahawa demonstrasi tersebut bertujuan bagi meluahkan kekecewaan doktor-doktor muda yang hanya diberikan pekerjaan oleh kerajaan secara kontrak.
Beliau berpendapat, doktor-doktor terbabit dinafikan pelbagai elaun dan keistimewaan yang dinikmati oleh doktor tetap walaupun tanggungjawab kerja adalah seratus peratus sama.
“KANUN juga mengambil maklum beberapa bentuk intimidasi termasuk amaran dan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada beberapa orang doktor yang dilihat menyokong gerakan #HartalDoktorKontrak ini.
“KANUN dengan tegas menemplak tindakan intimidasi yang dilakukan oleh pihak kerajaan terhadap para doktor muda ini dan dengan tegas berpandangan bahawa tindakan mereka ini selari dengan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Esok, Gerakan Hartal Doktor Kontrak dirancang akan mengadakan protes secara besar-besaran di semua pusat kesihatan seluruh negara.
Sehubungan itu, Fadhli memetik kenyataan Hakim Mahkamah Rayuan berkenaan kebebasan bersuara sebagai salah satu hak paling mendasar yang dinikmati oleh individu.
“KANUN akhirnya mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional dengan kata-kata Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamuddin Yunos dalam Penghakimannya dalam kes Muhammad Hilman Bin Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors [2011] 6 MLJ 507:
“Freedom of expression is one of the most fundamental rights that individuals enjoy. It is fundamental to the existence of democracy and the respect of human dignity.”
Semalam, kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak menjangkakan seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara akan menyertai protes yang menuntut penawaran pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak.