Harumanis dijadikan menu majlis iftar, sahur Kementerian Pertanian

Harumanis dijadikan menu majlis iftar, sahur Kementerian Pertanian

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub mengarahkan semua agensi-agensi di bawah kementerian menjadikan mempelam harumanis sebagai menu wajib majlis berbuka puasa, moreh ataupun sahur sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata arahan itu adalah selaras usaha kementerian membantu perkembangan industri harumanis negara, terutama di Perlis.

“Dalam mesyuarat Kabinet pun saya menyatakan kalau boleh semua jamuan kerajaan sepanjang Ramadan ini dibekalkan menu harumanis sama ada sewaktu majlis Iftar, moreh ataupun sahur bagi tetamu,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Selasa.

Salahuddin berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menubuhkan satu unit khas bagi memastikan produk ikon Perlis itu terjamin dari segi pasaran.

Katanya selain dimakan segar, FAMA turut memperkenalkan menu-menu menarik berasaskan harumanis seperti pulut mangga harumanis dan jus mangga harumanis untuk dijadikan juadah berbuka puasa dan bersahur.

“Setakat ini permintaan bagi harumanis bagus dan tidak sukar untuk menembusi pasaran seperti Jepun dan negara lain…cuma masalah yang dihadapi sekarang tidak cukup dari segi bekalan,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata bekalan daging mencukupi untuk menampung permintaan sempena Ramadan ini dan pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan pengguna membeli bekalan dengan harga munasabah.- BERNAMA