Hasanuddin dilantik Ahli Lembaga Pengarah GOPAC, Naib Pengerusi SEAPAC

Hasanuddin dilantik Ahli Lembaga Pengarah GOPAC, Naib Pengerusi SEAPAC

Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik ahli lembaga pengarah Organisasi Anggota-anggota Parlimen Global Menentang Rasuah (GOPAC) bagi tempoh dua tahun.

Hasanuddin, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), juga dilantik sebagai Naib Pengerusi Anggota-anggota Parlimen Asia Tenggara Menentang Rasuah (SEAPAC) manakala Indonesia sebagai pengerusi.

Pelantikan itu dibuat ketika beliau mewakili Malaysia ke GOPAC Ketujuh yang diadakan di Doha, Qatar, dari 8 hingga 10 Dis, lepas bersama tiga ahli Parlimen iaitu Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus), Hasbi Habibollah (GPS-Limbang), dan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands).

GOPAC adalah persekutuan antarabangsa penggubal undang-undang yang bekerjasama untuk memerangi rasuah, mengukuhkan demokrasi, mencapai akauntabiliti dan ketelusan melalui mekanisme anti-rasuah yang berkesan, serta penyertaan dan kerjasama yang inklusif antara ahli Parlimen, kerajaan dan masyarakat sivil.

Menurut Hasanuddin, GOPAC memainkan peranan yang sangat penting terhadap dunia keadilan kerana ramai yang tidak faham dan terdapat juga golongan yang berpura-pura tidak tahu tentang rasuah.

“Tugas kami untuk menasihati dan memantau rakan-rakan kami untuk memastikan tiada amalan rasuah, yang boleh membawa kepada ketidakstabilan, terutama sekali di ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis– BERNAMA