Malaysia Dateline

Hasanuddin wakil Amanah ke Forum Khas Baitulmaqdis hari ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menghantar Naib Presidennya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus wakil ke Forum Khas Baitulmaqdis hari ini.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam satu kenyataan dipetik berkata, AMANAH akan menghantar Naib Presiden Hasanuddin Hassan sebagai panel jemputan pada forum khas berkenaan.

Sebelum ini Bernama melaporkan panel jemputan dari AMANAH ialah Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Bagaimanapun semalam Malaysia Dateline melaporkan Dr Mujahid menafikan beliau menerima sebarang jemputan daripada pihak penganjur.

Ketika dihubungi semula Dr Mujahid memaklumkan beliau sudah mendapat jemputan oleh penganjur melalui panggilan telefon, bagaimanapun beliau tidak dapat hadir dan menyerahkannya kepada Hasanuddin.

“Hasanuddin ganti saya. Saya yang dapat jemputan,” ujarnya ringkas tanpa mahu memberitahu sebab beliau tidak dapat memenuhi jemputan penganjur itu.

PKR menghantar wakilnya Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Manakala Bersatu dilaporkan Bernama pada Rabu, Ketua Penerangannya Datuk Kamaruddin Md Nor akan dijemput sebagai panel dalam forum sama, namun turut menafikan beliau menerima sebarang jemputan sehingga semalam.

Sehingga berita ini ditulis tidak dapat dipastikan sama ada Bersatu akan menghantar wakilnya dalam forum khas mengenai Baitulmaqdis yang akan diadakan pada jam 12 tenghari ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Ia adalah sebahagian daripada program Himpunan Solidariti Baitulmaqdis anjuran Umno dan Pas, selain khutbah Jumaat oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Al- Bakri dan disusuli dengan himpunan yang diadakan selepas solat Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak juga akan mengumumkan resolusi isu Baitulmaqdis hari ini.

Baca: PKR hantar wakil ke Forum Khas Baitulmaqdis