Hasbie Muda raih undi tertinggi pemilihan Pemuda AMANAH Nasional

Hasbie Muda raih undi tertinggi pemilihan Pemuda AMANAH Nasional

Naib Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu, Hasbie Muda memperoleh undi tertinggi pada pemilihan Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional hari ini.

Penyelaras Pakatan Harapan (PH) DUN Paka itu mendapat 230 undi daripada jumlah keseluruhan 365 pengundi yang hadir.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu mendahului senarai 27 calon lain dalam pemilihan yang menggunakan sistem e-undi itu.

Sementara itu, Setiausaha Biro Pertanian dan Luar Bandar AMANAH Nasional, Sham Ghaz menduduki tempat kedua tertinggi dengan perolehan sebanyak 222 undi.

Ia diikuti dengan Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Johor, Azam Mekhtar yang memperoleh 219 undi.

Seramai 59 calon layak bertanding bagi merebut 27 jawatan dalam Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Pemuda AMANAH Nasional bagi sesi 2019-2022.

Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2019 berlangsung sejak semalam di Dewan Komuniti Batu Muda di ibu negara.