Malaysia Dateline

Hasbie pilih jawab di mahkamah

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda menegaskan beliau memilih untuk menjawab di mahkamah ketika disoal siasat polis susulan perhimpunan aman #TangkapAzamBaki minggu lalu.

Beliau mempersoalkan kewajaran proses siasatan terhadap peserta demonstrasi itu yang terdiri daripada golongan muda ketika Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebenarnya adalah suspek.

“Saya dan puluhan orang muda dipanggil ke IPD Brickfields untuk disoal siasat rentetan Demo #TangkapAzamBaki pada hari Sabtu lepas serta ceramah di Restoran Amjal pada malam sebelumnya.

“Yang jadi suspek jenayah adalah Azam Baki tapi yang disoal siasat adalah anak-anak muda yang mendesak supaya suspek jenayah disoal siasat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) disebabkan hal sedemikian.

“Apa sudah jadi Malaysia? Patutlah Indeks Persepsi Rasuah merudum,” tambah Hasbie lagi.