Malaysia Dateline

Hasil bumi melimpah, tidak munasabah nasib rakyat Sabah daif

Kelmarin saya round-round di Sook, Klias, Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Api-Api dan Inanam untuk berkempen bersama calon-calon kita dari KEADILAN.

Jutaan penghargaan buat rakyat Sabah terutamanya kepada mereka yang turut memberikan sokongan padu dan dukungan hebat sepanjang siri jelajah saya.

Saya begitu tersentuh dengan perpaduan antara kaum dan suku kaum yang sangat bersatu hati di sana, serta kesatuan mereka dalam membawa agenda/misi perubahan.

Atas semangat yang sama saya menggesa rakyat di Semenanjung untuk meneladani sikap toleransi mereka antara kaum.

Dari sibukkan diri dengan mencari titik perbezaan dan perbalahan, adalah lebih baik kita sama sama cari titik persamaan dan pastikan Malaysia ini kekal toleransi dan terus menerus menjaga kerukunan.

Saya turut berdukacita memikirkan khazanah dan hasil bumi Sabah yang begitu pelbagai namun nasib rakyat di pedalaman yang masih hidup dalam keadaan yang daif dan melarat. Ini sangat tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali.

Bersempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia yang lalu, saya sebut dalam perutusan saya bahawa rakyat Sabah dan Sarawak harus dilihat, malah diiktiraf sama rata dalam pelbagai aspek, terutama aspek pembangunan.

Mereka bukan orang asing tapi adalah saudara dan rakan kita dalam membina Malaysia yang menjanjikan kesaksamaan dan keadilan.

Ayuh, bersama kita angkat agenda reformasi, dan ini bermakna menolak politik sogok dan perkauman di Malaysia, terutamanya di Sabah. Lawan tetap lawan!