Malaysia Dateline

Hasil negeri Kedah bagi 2019 melebihi sasaran, kata Mukhriz

Kerajaan Kedah mengutip sejumlah RM726.89 juta hasil negeri bagi 2019, sekali gus merekodkan lebihan sasaran hasil yang ditetapkan bagi tahun lepas, iaitu sebanyak RM710 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata lebihan itu, termasuklah penerimaan khas daripada kerajaan Pusat sebanyak RM200 juta, selain hasil tanah yang merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negeri pada tahun lepas.

“Kerajaan Pusat meluluskan pemberian khas sebanyak RM200 juta, dengan RM150 juta dimasukkan sebagai hasil negeri, manakala RM50 juta lagi dimasukkan dalam akaun amanah kerajaan negeri.

“Kutipan hasil ini melepasi (pendapatan) bagi 2018 iaitu sebanyak RM559.12 juta. Jika ditolak penerimaan khas daripada kerajaan Pusat pun, hasil bagi 2019 masih mengatasi hasil pada 2018,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata penyumbang lain hasil negeri termasuklah daripada daerah, sebanyak RM21.32 juta, hasil hutan (RM18.36 juta) dan hasil pelbagai termasuk pemberian khas kerajaan Pusat (RM325.32 juta).

Mukhriz berkata walaupun hasil hutan banyak berkurangan  berbanding 2018 (jumlah perbandingan tidak dinyatakan) apabila kerja-kerja pembalakan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dihentikan, kerajaan negeri masih berupaya meningkatkan hasil negeri.

Sementara itu katanya, perbelanjaan mengurus pada 2019 pula sebanyak RM559.62 juta, dan jumlah itu kurang daripada perbelanjaan pada 2018 yang berjumlah RM608.51 juta.

“Ini merupakan penjimatan sebanyak RM48.89 juta…kita boleh bekerja untuk dapat hasil yang banyak, namun kita jaga kos. Belanja mengurus kurang kerana kita lebih cermat dan berbelanja secara berhemah.

“Walaupun belanja mengurus turun, namun belanja pembangunan yang dinikmati secara langsung oleh rakyat meningkat kepada RM161.8 juta berbanding RM127.9 juta pada 2018, semunya untuk manfaat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Mukhriz berkata kerajaan juga membelanjakan RM214.3 juta daripada peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) untuk menyelenggara jalan-jalan di seluruh negeri ini meliputi Jalan Kampung, Jalan Negeri, Jalan Pertanian dan Jalan Bandaran.– BERNAMA