Hasil pelupusan aset Khazanah bukan untuk bayar hutang kerajaan

Hasil pelupusan aset Khazanah bukan untuk bayar hutang kerajaan

Semua hasil pelupusan saham, aset dan kepentingan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) adalah menjadi milik penuh dana kekayaan negara itu dan sama sekali tidak digunakan untuk membayar hutang-hutang kerajaan.

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata secara lazimnya, Khazanah akan menggunakan hasil lupus tersebut untuk melakukan pelbagai pelaburan baharu selain membayar hutang-hutangnya yang sudah menghampiri tempoh matang.

“Bayaran yang kerajaan terima daripada Khazanah hanyalah dalam bentuk dividen tahunan dan cukai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang bertanyakan prestasi kewangan terkini Khazanah serta jumlah pelupusan saham, aset dan kepentingan yang dilakukan dana itu sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan sehingga kini.

Menjelaskan selanjutnya, Mohamed Azmin berkata bagi tempoh Mei 2018 sehingga Jun 2019, Khazanah telah melaksanakan pelupusan aset berjumlah RM18.8 bilion yang mana RM3.2 bilion pada 2018 manakala RM15.6 billion antara Januari-Jun 2019.

Susulan itu, syarikat itu berjaya mengurangkan hutangnya sebanyak RM8 bilion kepada RM47 bilion dan nilai tersebut dijangka akan terus berkurangan kepada RM30 bilion hingga RM40 bilion dalam tempoh jangka sederhana, katanya.

“Kerajaan yakin Khazanah akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk terus meningkatkan prestasi kewangannya dan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, strategi pelaburan Khazanah akan dilaraskan ke arah industri baharu yang bernilai tambah tinggi dan beri kesan langsung untuk melonjakkan ekonomi Malaysia, meningkatkan pendapatan rakyat dan mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dalam memasuki era teknologi tinggi dan negara maju,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif pelupusan sedemikian bukanlah suatu perkara luar biasa bagi mana-mana syarikat pelaburan strategik dalam negara mahu pun antarabangsa.

Malah, menurut Mohamed Azmin, sewaktu pentadbiran kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khazanah telah melupuskan sejumlah 84 aset dari 2009 sehingga April 2018.

Hasil pelupusan itu digunakan untuk membayar hutang yang wujud susulan kerugian pelaburan tidak strategik selain menampung kos rosot nilai aset, katanya.

— BERNAMA