Malaysia Dateline

Hasil sisa pepejal di Kedah berkurangan hampir 10 peratus sejak PKP

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hasil sisa pepejal atau sampah di negeri Kedah berkurangan hampir 10 peratus.

Menurut Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah, Sr. Tan Kok Yew, kerajaan negeri amat berharap situasi ini dapat berterusan dan bertambah baik selepas tempoh PKP berakhir nanti.

Jelasnya, kutipan sampah di negeri Kedah mencecah sehingga melebihi 1016 tan sehari. Namun begitu sejak penguatkuasaan PKP jumlah sampah yang dikutip menyusut kepada 917 tan sehari.

Sebagai bukti katanya, bagi Kota Setar purata hasil sampah yang dikutip setiap hari mencecah 270 tan, walau bagaimanapun kini ia turun kepada hanya 243 tan sehari.

“Bagi daerah Sik dan Padang Terap pula ia menunjukkan penghasilan sampah yang meningkat walaupun daerah-daerah lain mencatatkan penurunan.

“Ruang yang ada ketika ini boleh dimanfaatkan dengan mendidik ahli keluarga agar mereka membiasakan diri dengan mengasingkan sampah seperti tin dan kertas sebagai satu amalan dalam masyarakat.

“Kerajaan negeri amat menyokong dan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan mengambil inisiatif dan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan penularan wabak Covid 19 dapat dihentikan,” ujar beliau.

Sejajar dengan itu kata Tan lagi, Majlis Bandaraya Alor Setar turut mengambil daya usaha dengan menyediakan sinki lengkap dengan sabun di pintu utama Pasar Besar Alor Setar, Pasar Simpang Kuala dan Pasar Teluk Wan Jah.