Malaysia Dateline

Hasnul angkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor yang baharu hari ini.

Hasnul yang merupakan wakil rakyat dari AMANAH dipilih selepas Dr Daroyah Alwi meletak jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri dan juga telah keluar daripada PKR.

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari mencalonkan Hasnul dan pencalonan itu disokong oleh Adun Bandar Baru Klang Teng Chang Kim.

Terdahulu, Amiruddin berkata, PH Selangor membuat keputusan secara konsensus dalam kalangan PKR, DAP dan AMANAH bagi mengisi jawatan itu berikutan peletakan jawatan Dr Daroyah Alwi, yang keluar PKR pada 13 Jun lepas.

Sebelum ini, Dr Daroyah, yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, mengumumkan keluar daripada parti dan mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).