Malaysia Dateline

Hasnul sedih terpaksa turun gambar terima watikah sebagai Exco

Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menangis teresak-esak ketika menurunkan gambarnya di pejabat exco kerajaan Perak di Ipoh hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak itu terpaksa keluar pejabat susulan perkembangan politik yang berlaku di Putrajaya.

Hasnul Zulkarnain Abd Munaim

Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong itu dilihat tidak dapat menahan sebak, seperti laporan Astro Awani.

“Saya rasa saya mempersiapkan diri saya untuk menerima keadaan yang akan berlaku dalam dua tiga hari ini. Saya datang sini untuk kemas barang-barang saya. Namun yang paling sedih saya terpaksa turunkan gambar saya sendiri iaitu gambar saya menerima watikah sebagai exco kerajaan negeri,” katanya.

Malah Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu berkata, beliau masih mahu berkhidmat untuk rakyat Perak.

“Saya masih belum puas untuk berkhidmat kepada rakyat Perak. Saya exco penerangan dan kerap berjumpa masyarakat.

“Antara yang paling menyentuh hati saya ialah program santai bersama rakyat bawahan. Dari situlah saya dapat lihat apa rakyat Perak mahu selama ini,” katanya lagi.