Malaysia Dateline

Hasnul tetap dengan pendirian lepaskan jawatan

Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim tetap dengan pendirian untuk meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) selepas menolak permintaan Jawatankuasa Eksekutif PAFA meminta beliau mempertimbangkan semula keputusannya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang tidak mahu polemik berkaitan PAFA terus berpanjangan.

“Saya memikirkan nasihat daripada menteri besar sendiri yang menyatakan kita tidaklah nak mempolitikkan isu persatuan ini.

“Keputusan ini juga dibuat demi kepentingan PAFA bersama pembangunan bola sepak supaya ia dapat diurus dengan baik tanpa isu-isu yang barangkali kalau saya kembali ia akan menimbulkan isu lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Negeri Perak di sini, hari ini.

Pada 13 Nov lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA yang dipengerusikan Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sebulat suara menolak permohonan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain sebagai presiden badan induk itu.

Mesyuarat tersebut memberi tempoh selama 14 hari kepada Hasnul mempertimbangkan keputusan yang dibuat beliau pada 8 Nov lalu.

Hasnul Zulkarnain berkata beliau akan menghantar surat secara rasmi kepada Jawatankuasa Eksekutif PAFA selewat-lewatnya Isnin ini bagi memuktamadkan perkara berkenaan.

“Secara lisan saya dah maklumkan kepada mereka Selasa lepas (20 Nov) dan untuk surat saya akan hantar paling cepat Jumaat esok atau selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya.

Ditanya calon sesuai untuk menggantikan tempatnya, Hasnul Zulkarnain, yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, masih berteka-teki namun optimis individu berkenaan mampu menggalas tugas tersebut.

Selain itu, beliau berkata pihaknya mengharapkan skuad The Bos Gaurus akan meneruskan kecemerlangan dalam mengharungi Liga Malaysia pada kempen liga yang akan berlangsung pada Januari depan.

— BERNAMA