Hasrat Australia pindah kedutaan ke Baitulmaqdis dikecam

Hasrat Australia pindah kedutaan ke Baitulmaqdis dikecam

Serantau Muslim melahirkan rasa terkilan dan kecewa di atas hasrat Australia yang ingin memindahkan kedutaan mereka ke Baitul Maqdis.

Jika dilihat pada 14 Mei yang lalu, Amerika Syarikat yang diterajui pemimpin Donald Trump telah merasmikan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baitul Maqdis dan kini, Australia pula mula mengikut jejak langkah sekutu Israel tersebut.

Pengerusi Serantau Muslim Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob melihat tindakan Donald Trump sebelum ini sememangnya mendapat bantahan dan kemarahan dunia namun mereka masih meneruskan agenda biadap mereka tersebut.

“Tindakan AS dan hasrat Australia itu juga melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mendapat kecaman Dewan Keamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Serantau Muslim turut merasakan hasrat Australia untuk memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis seolah-olah mengiktiraf segala tindakan ketidakperimanusiaan Israel sebelum ini,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Jika hasrat ini diteruskan, katanya ia sangat-sangat mengguris hati penduduk Islam di seantero dunia.

Serantau Muslim melihat Australia seperti lupa akan kata-kata beliau sebelum ini bahawa Baitulmaqdis adalah ibu kota penduduk Palestin dan perlu diadakan perdamaian antara Israel dan Palestin namun, kini mereka sendiri ingin mencemarkannya kerana dengan tindakan sebegini ia bukannya membawa perdamaian tetapi lebih kepada diskriminasi bangsa yang lebih dasyat.

Justeru, beliau menyeru kerajaan Malaysia menyatakan bantahan terhadap hasrat Australia ini agar tidak meneruskan hasrat memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis seperti yang diumumkan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison baru-baru ini.

Serantau Muslim turut bimbang perdamaian antara Israel dan Palestin kian menemui jalan buntu jika perpindahan kedutaan ini diteruskan kerana Scott Marison bersikap terbuka untuk menimbang cadangan mengiktiraf secara rasmi Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

Serantau Muslim menyeru seluruh komuniti dunia bersama-sama mengecam Israel kerana berhasrat menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka.

Beliau juga berharap Scott Morrison lebih matang dalam membuat keputusan agar tidak mencetuskan provokasi serta kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia kerana hasrat pemindahan tersebut adalah tindakan yang tidak bijak sama sekali.

 

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)