Malaysia Dateline

Hasrat bawa anak bermain air bertukar tragedi – Budak tiga tahun jadi korban pertama banjir di Terengganu

Hasrat seorang bapa membawa tiga anaknya untuk bermain air di kawasan banjir tanpa diduga bertukar tragedi.

Itu dialami Sobre Ramli, 33, apabila anaknya, Muhammad Sufi Ijaz Sobre, tiga tahun, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Kuala Terengganu semalam.

Kejadian itu sekaligus sebagai korban pertama banjir yang sedang melanda Terengganu pada musim tengkujuh ini.

Mangsa dilapor melihat air banjir bersama bapa, abangnya, Muhammad Shakir Wafiudin, lapan tahun dan adik, Muhammad Shafiq Arshad, berusia satu tahun, kira-kira jam 4 petang.

Sobre berkata, sebelum kejadian dia baharu sahaja mengambil tiga anak itu yang berada di rumah ibunya di Kampung Tetambah di sini, selepas pulang bekerja.

Jelasnya, sebelum pulang ke rumah mereka, dia membawa tiga anaknya untuk bermain air di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika Sufi bersama abangnya, Shakir, melihat air sungai dari atas jambatan yang hanya terletak kira-kira 10 meter dari lokasi dia dan anak bongsunya berada.

“Saya tiba di sini jam 4 petang. Ketika sampai, kami melihat air di tepi kawasan rumah yang dinaiki air tetapi saya sedari abang mengajak adiknya ke jambatan.

“Saya sudah pesan jangan ke situ (atas jambatan) kerana bahaya. Dalam beberapa saat sahaja selepas itu abang menjerit memberitahu adik dalam air,” dipetik BH.

Dia kemudiannya terus terjun tetapi arus sangat deras sebelum kembali ke tebing menghubungi saudara mara dan isterinya, Nurul Ain Bakri, 33, yang sedang bekerja di Politeknik Kota.