Hasrat Filipina anjur Sukan SEA 2019 setaraf Sukan Asia

Hasrat Filipina anjur Sukan SEA 2019 setaraf Sukan Asia

Filipina berharap untuk melepasi standard Singapura dan Malaysia dalam penganjuran temasya Sukan SEA 2019 di negara itu, November ini.

Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Ramon Suzara berkata, mereka gembira melihat kedua-dua negara tuan rumah itu telah membuat pencapaian penting apabila menganjur temasya dwitahunan itu masing-masing pada 2015 dan 2017.

Justeru, katanya, Filipina mempunyai pelan induk penganjuran Sukan SEA 2019 yang setanding dengan standard Sukan Asia apabila menganjurkan temasya sukan itu di empat kluster – Manila, Clark, Subic dan BLT (Batangas, La Union dan Tagaytay) dari 30 Nov hingga 11 Dis ini.

Bagaimanapun, menganjurkan jumlah jenis sukan paling besar dalam sejarah Sukan SEA iaitu 56 jenis sukan melibatkan 523 acara merupakan satu cabaran yang besar, katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat khas kepada 40 persatuan sukan kebangsaan di sini, hari ini.

Sebelum ini. Sukan SEA terbesar menampilkan 44 jenis sukan dianjurkan oleh Indonesia pada edisi 2011 manakala Kuala Lumpur menganjurkan 38 jenis sukan pada edisi 2017.

Suzara berkata kerja-kerja pengubahsuaian pada venue pertandingan telah mencapai 50 peratus dan berharap kesemua kerja-kerja tersebut dapat diselesaikan menjelang Jun ini sebelum proses menguji beberapa venue khususnya venue olahraga dan akuatik dijalankan.

Pada perkembangan berkaitan, beliau berkata, PHILSGOC akan meneliti setiap rayuan daripada beberapa negara anggota Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) berhubung pengguguran beberapa acara dalam jenis-jenis sukan tertentu pada temasya tersebut.

“Saya faham ada banyak rayuan daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan negar-negara bertanding termasuk Malaysia…selagi tidak melibatkan kos tambahan, ia tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, beberapa jenis sukan akan berkongsi venue pertandingan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata sebarang perubahan termasuk pertambahan beberapa acara pada Sukan SEA 2019 tertakluk kepada permintaan persatuan sukan kebangsaan di Filipina.

Beliau memaklumkan jumlah sukan yang bakal disertai Malaysia dijangka akan diketahui bulan depan kerana tempoh pengesahan jumlah penyertaan acara dan atlet berakhir pada Julai dan September ini.

— BERNAMA