Malaysia Dateline

Hasrat kerajaan kenakan hukuman berat pemandu mabuk disambut baik

Pemuda AMANAH Kawasan Permatang Pauh menyambut baik hasrat kerajaan untuk meminda undang-undang sedia ada kepada hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemudanya, Mohd Farid Ismail selepas menziarahi lima beradik yang menjadi yatim sekelip mata di Butterworth, setelah ibu dan bapa mereka dipercayai dilanggar oleh pemandu mabuk pada minggu lalu.

Menurut Farid lagi, Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh melihat pindaan undang-undang ini sahaja belum mencukupi, selain hukuman dan denda yang lebih tinggi serta digantung lesen memandu seumur hidup.

“Pelaku juga perlu dipenjarakan untuk satu tempoh masa yang panjang.

“Malah hukuman sebat juga wajar diperkenalkan sepertimana yang dipraktikkan di Singapura.

“Pendekatan ini bukanlah satu jalan penyelesaian bagi mengatasi kes pemandu mabuk di jalan raya secara keseluruhannya, tetapi sedikit sebanyak ia mampu untuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pemandu mabuk, ” tegasnya.

Ujar beliau, PDRM perlu meningkatkan lagi sekatan jalan raya terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi, khususnya sekitar pusat hiburan dan kelab malam.

Tambahnya, operasi sekatan jalan raya harus dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan secara berkala atau bermusim bagi memberi kesedaran dan peringatan kepada pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang sedia ada.

“Kerajaan boleh memulakan kempen memandu bebas alkohol di kesemua media sosial dengan kadar segera.

“Menyekat penjualan alkohol secara terbuka bagi mengurangkan kes kemalangan berkaitan pemandu mabuk dengan menjalankan kempen secara besar-besaran.

“Dengan inisiatif ini ia diharapkan dapat menzahirkan kesedaran rakyat negara ini terhadap bahaya memandu dibawah pengaruh alkohol, ” saran beliau.

Disamping itu katanya, agensi kerajaan dan pihak swasta perlu memainkan peranan masing-masing secara serius dalam membantu kerajaan melaksanakan kempen kesedaran tersebut.

Beliau juga berkata, hukuman yang dikenakan terhadap pemandu mabuk mestilah tegas tanpa mengambil kira kedudukan maupun latar belakang pesalah tersebut.