Hasrat KM Sarawak dibantah PSB

Hasrat KM Sarawak dibantah PSB

Hasrat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membenarkan warga Sabah memasuki negeri ini tanpa syarat telah dibantah oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menerusi kenyataan media yang dikeluar lewat petang ini di Kuching menyatakan bahawa PSB tidak akan bersetuju untuk membenarkan hak kemasukan imigresen ke Sarawak dihapuskan dengan membenarkan warga Sabah memasuki Sarawak tanpa syarat seperti dibayangkan Abang Johari baru-baru ini.

“Hak istimewa paling berharga yang Sarawak miliki di bawah Perlembagaan Persekutuan ialah urusan imigresen terhadap kemasukan ke Sarawak.

“Oleh demikian, PSB tidak akan bersetuju untuk membenarkan hak ini dihapuskan dalam apa jua cara sekalipun,” kata kenyataan itu.

Abang Johari pada Isnin ketika dalam kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu bagaimanapun berkata beberapa aspek perlu dilihat jika perkara itu hendak dilaksanakan.

“Bagaimanapun terdapat beberapa faktor yang perlu difahami dan diambil kira, termasuk faktor geopolitik,” katanya dipetik menerusi laporan media.

Pada masa ini penduduk dan rakyat Sabah menggunakan telah Pas Lawatan Sosial atau pasport untuk memasuki Sarawak.