Malaysia Dateline

Hasrat Menteri Wilayah bersihkan imej DBKL dari lubuk rasuah disambut baik

Parti AMANAH Negara Wilayah Persekutuan (AMANAH WP) menyambut baik iltizam Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang mahu mengikis imej dan persepsi buruk terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai lubuk rasuah.

Naib Pengerusinya Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, ketegasan ditonjolkan kepada kontraktor yang ‘ mengalibabakan’ kontrak PBT dengan memberi atau menerima rasuah bukan lagi sesuatu yang boleh dikompromi atau diselindungkan dalam era kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“AMANAH Wilayah Persekutuan merasakan sudah tiba masanya imej buruk terhadap DBKL dibersihkan daripada akar umbi. Langkah ini bukan sesuatu yang mudah, kerana amalan rasuah begitu kuat membarah dan menjadi budaya kerja.

“Rentetan daripada peristiwa hitam beberapa tahun kebelakangan ini di mana beberapa orang pegawai DBKL termasuk antara pegawai-pegawai tertinggi DBKL ditahan SPRM atas kesalahan rasuah, imej dan integriti DBKL begitu tercalar teruk di mata masyarakat.

“Keadaan ini menimbulkan krisis keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi tersebut. Masyarakat menganggap DBKL adalah lubuk rasuah dan tempat untuk segelintir pihak mendapat laba dan kekayaan dengan mudah dan cepat,” ujarnya dalam kenyatana hari ini.

Beliau mengulas mengenai azam Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH itu untuk mengikis imej dan persepsi buruk terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai lubuk rasuah.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak kesemua kontraktor yang mendapat projek dari DBKL agar membantu beliau bagi mengikis persepsi itu.

Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi

Tambah Ahmad Zamri Asa’ad lagi, rasuah berpunca dari sikap pemimpin politik yang tidak amanah dan bertanggungjawab suka meminta habuan serta mengharapkan balasan sebelum meluluskan sesuatu projek menjadi sebab ramai kontraktor terperangkap dengan amalan keji itu.

“Amalan memberi habuan ‘beranak-pinak’ kepada suku sakat pemimpin politik di peringkat Bahagian atau Cawangan yang meminta rasuah sehingga kontraktor tidak mempunyai banyak pilihan melainkan ‘terpaksa’ menyuap banyak pihak berkepentingan.

“Malangnya, budaya buruk ini turut berjangkit kepada segelintir pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang cuba ‘menangguk di air yang keruh’,” ujarnya.

Justeru beliau menyeru kontraktor juga memainkan peranan penting dalam memastikan amalan rasuah dapat dibendung.

“Jika kontrak sesuatu projek dibuat secara tender terbuka, bebas dan telus, sukar untuk berlaku amalan rasuah.

“Anugerah sesuatu projek pula mesti diberikan kepada kontraktor yang benar-benar layak. Selain itu, kontraktor juga mesti jujur dalam perniagaan mereka. Amalan menjual atau menyerahkan kontrak kepada pihak lain (sub kontrak) kepada kontraktor lain juga adalah amalan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Mana-mana kontraktor yang bersungguh mahu menjalankan perniagaan dan projek dengan DBKL seharusnya menjaga amanah tersebut dengan sebaiknya.

“Amalan menjual atau menyerahkan sub kontrak adalah amalan keji kerana menyekat peluang serta sumber perniagaan kontraktor lain yang lebih layak dan berkemampuan, tetapi mengawardkan kontrak itu pula kepada kontraktor yang tidak berkelayakan sama ada dari segi pengalaman mahupun kemampuan kewangan.

“Akhirnya, projek tersebut gagal, tergendala ataupun kos meningkat dengan mendadak yang tentunya menyusahkan warga kota serta merugikan duit pembayar-pembayar cukai,” terangnya.

Katanya lagi, AMANAH WP berkeyakinan, jika Menteri Wilayah Persekutuan bersungguh-sungguh membanteras amalan rasuah hingga ke akar umbi, disertai dengan ketegasan, iltizam dan ketekunan, rasuah pasti dapat dibendung.

Ia didorong juga oleh semangat kerja berpasukan, ikhlas dan telus dalam menunaikan tanggungjawab serta amanah, selain teladan baik yang ditunjukkan oleh para pemimpin negara.

Baca : Kikis prsepsi lubuk rasuah