Hasrat nikmati kaki ayam terbantut, peniaga tetak jari sampai kudung!

Oleh WAN SITI AMINAH

Hasrat seorang wanita untuk memasak dan menikmati hidangan kaki ayam terbantut apabila pulang ke rumah daripada pasar.

Mana tidaknya, selera wanita tersebut ‘terpotong’ apabila mendapati jari pada kaki ayam yang dibelinya itu telah ‘dipotong’ langsung oleh penjual di pasar berkenaan.

Terlihat seperti anggota badan yang kudung, wanita tersebut merasa sangat tidak berpuas hati dengan cara penjual ayam di pasar berkenaan memotong kaki ayam.

Bayangkan, sudahlah jari kaki langsung tiada, pelanggan itu juga mendapati tapak kaki ayam yang dibelinya itu turut dikerat oleh penjual dan hanya tinggal ‘sipi-sipi’.

Tidak reda dengan tindakan penjual berkenaan, wanita yang merasa seperti dianiaya itu dengan berseloroh turut menawarkan dirinya untuk mendoakan orang lain.

Berjaya menyita perhatian orang ramai, kekecewaan tersebut diluahkan wanita itu menerusi satu postingan tular yang dimuat naik di akaun laman Facebook miliknya.

“Ya Allah, Jah tak reda Ya Allah. Jari kaki ayam Jah tak ada Ya Allah. Tapak pun ada sipi sipi sahaja Ya Allah. Sampai hati pakcik potong ayam itu pergi potong jari ayam Jah. 

“Siapa yang tengah ada masalah, mari sini Jah doakan kamu semua. Jah teraniaya. Doa orang teraniaya ini termakbul. Pilu hempedu Jah tengok kaki ayam Jah.

“Dia punya sedih itu umpama Jah pergi kepci (KFC) minta bahagian paha dan thigh, tetapi pekerja itu bagi semua isi dada,” katanya yang turut berkongsi foto kaki ayam itu.

Gambar yang dimuat naik oleh pengguna Facebook tersebut

Pelanggan berkenaan bagaimanapun langsung tidak mendedahkan lokasi pasar mahupun daerah di mana peniaga tersebut menjual ayam tanpa jari itu.

 Difahamkan, tujuan pelanggan tersebut membeli anggota ayam berkenaan adalah untuk memasukkannya ke dalam hidangan Tomyam yang akan dimasaknya.

Namun wanita tersebut telah membatalkan niatnya memandangkan seleranya sudah ‘terpotong’ apabila melihat ayam tanpa jari yang dibelinya itu.

Dalam perkembangan terbaharu, wanita itu mengunjungi pasar yang sama untuk membeli ayam namun memaklumkan terlebih dahulu agar jari di kaki tidak dipotong.

Sudah terbiasa, peniaga yang tetap memotong jari pada ayam tersebut bertindak mengganti semula dengan kaki baharu.

Baca juga: Topi milik Michael Jackson dijual pada harga hampir RM400k, terkenal sebab tarian moonwalk