Hasrat pembangkang bentuk kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’ sebagai tidak bermaruah

Hasrat pembangkang bentuk kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’ sebagai tidak bermaruah

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyifatkan keinginan pembangkang untuk membentuk kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’ adalah pendekatan yang tidak bermaruah.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, apa yang sedang diusahakan oleh Pas dan Umno adalah hendak menarik keluar sebahagian daripada parti di bawah Pakatan Harapan (PH) demi membentuk sebuah kerajaan baharu.

“Ini adalah cara nak tubuh kerajaan ikut pintu belakang, tidak bermaruah. Macam mana kamu cakap tentang soal Kongres Maruah Melayu, nak kembalikan maruah kepada bangsa Melayu, sedangkan cara nak tubuhkan kerajaan pun cara yang tak bermaruah.

“Saya rasakan mereka ini (pembangkang) masih tak faham maksud maruah itu. Cara nak pulih maruah Melayu bukanlah dengan cara penipuan, tetapi seperti yang Dr Mahathir sebut iaitu bangsa Melayu berpegang pada prinsip-prinsip mulia yang akan menjadikan Melayu bangsa bekerja keras, ada jati diri dan berjaya di tanah air sendiri tanpa atau dengan bantuan kerajaan,” ujarnya dalam Bicara YB Khalid Samad di Jom Channel, semalam yang bertajuk Kongres Maruah Melayu, Apa Matlamatnya?.

Sehubungan itu, beliau berharap bangsa Melayu mempunyai sikap bekerja keras yang membolehkan mereka mengatasi bangsa lain atas cara yang penuh bermaruah.

“Tetapi mereka (pembangkang) ini sebenarnya ingin mencapai matlamat politik dengan menggunakan persoalan Melayu dan semangat Melayu serta ‘perjuangan’ Melayu sebagai alasannya.

“Kamu (pembangkang) nak supaya kerajaan akan terbentuk dengan kamu mengkhianati kehendak rakyat. Hakikatnya rakyat inginkan kerajaan Pakatan Harapan yang memimpin. Ini satu perkara yang kita kena terimalah hakikatnya,” tegasnya.

Kongres Maruah Melayu adalah anjuran bersama Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 6 Oktober lalu.

Ribuan hadirin termasuk pemimpin parti politik Melayu, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NG0) hadir dalam kongres itu yang turut dihadiri pemimpin nombor satu negara, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berdukacita

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya di laman sosial mengenai kongres tersebut pembangkang turut berdukacita dengan ucapan Perdana Menteri dalam kongres itu.

Katanya, pembangkang cukup berdukacita dengan ucapan Dr Mahathir kerana mereka menganggap dengan kehadiran Pengerusi Bersatu itu dan kehadiran pemimpin-pemimpin parti politik Melayu yang lain, maka Dr Mahathir akan bersetuju untuk menerima lamaran mereka.

“Sebaliknya ucapan Dr Mahathir mendukacitakan mereka kerana meletakkan kesalahan orang Melayu yang dilihat sebagai maruah tercemar adalah atas kesilapan Melayu itu sendiri khususnya pemimpin-pemimpin Melayu yang telah memimpin kebelakangan ini.

“Saya melihat bahawa sebenarnya inilah matlamat diadakan kongres itu. Dijemputnya Dr Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain yang mereka anggap boleh ditarik untuk bersama.

“Tujuannya adalah supaya akhirnya, Perdana Menteri akan bersama dengan parti Umno, Pas dan BN untuk memimpin satu kerajaan Melayu yang kononnya akan menyelamatkan orang Melayu dan maruah orang melayu,” katanya lagi.