Hasrat penduduk Pulau Bruit dapat kad pengenalan baru tertunai

Hasrat penduduk Pulau Bruit  dapat kad pengenalan baru tertunai
Fadillah meluangkan masa berjumpa keluarga Abu Bakar dan dua lagi penduduk untuk menguruskan permohonan kad pengenalan baru.

Hasrat tiga penduduk Kampung Pulau Bruit,Daro di Sarawak untuk mendapatkan kad pengenalan baru akhirnya tertunai semalam.

Menurut Abu Bakar Mohsen,65,beliau sangat teruja dan melahirkan kesyukuran apabila dimaklumkan telah menerima kad pengenalan selepas hampir 40 tahun hanya menggunakan kad pengenalan lama.

Beliau berkata,walaupun hanya mampu memegang kad pengenalan baru itu kerana kedua-dua matanya buta sejak 20 tahun lalu,namun jauh di sudut hatinya ternyata amat lega dan gembira.

Abu Bakar Mohsen

Ini kerana,katanya gara-gara hanya menggunakan kad pengenalan lama sebelum ini,beliau dan dua orang lagi penduduk yang turut gagal menukar kad pengenalan baru tidak mendapat sebarang bantuan kebajikan.

“Alhamdulilah…saya amat bersyukur kerana mendapat perkhabaran gembira apabila menerima kad pengenalan baru selepas tiga minggu membuat permohonan yang diuruskan pegawai Jabatan Pendaftaran dari Bintulu yang sudi turun padang berjumpa kami.

“Justeru saya juga ingin merakamkan penghargaan terimakasih kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Parti AMANAH Cawangan Tanjung Manis yang diketuai Fadillah Sabali dan Bolhasan Jol yang berkerja keras menguruskan kes ini sehingga saya dan dua lagi penduduk akhirnya mampu memiliki kad pengenalan baru semalam” kata beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Selain Abu Bakar,dua lagi penduduk yang turut menerima kad pengenalan baru ialah Haslina Tajudin,57, dan Kator Seberi,85.

Sebelum ini Malaysia Dateline pada 22 Oktober lalu telah melaporkan beberapa penduduk di Kampung Bruit,Sarawak masih lagi menggunakan kad pengenalan lama.

Ekoran itu,penduduk terbabit sukar untuk memohon bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan selain telah gagal melakukan tuntutan bagi mendapatkan bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH).

Justeru,Fadillah Sabali yang juga merupakan Penyelaras AMANAH Cawangan Tanjung Manis mengambil inisiatif bagi menjemput Pegawai Jabatan Pendaftaran untuk turun ke kampung bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu Setiasaha AMANAH Cawangan Tanjung Manis,Bolhasan Jol berkata,pihaknya akan menguruskan ketiga-tiga penduduk terbabit bagi memohon mendapatkan bantuan kebajikan.

Jelasnya,permohonan bagi mengurus kes kad pengenalan baru ketiga-tiga mereka hanya mengambil masa tiga minggu sahaja.

“In shaa Allah…selepas ini kita akan bantu mereka untuk membuat permohonan sebarang bantuan kebajikan khususnya bertujuan bagi meringankan beban perbelanjaan untuk berulang-alik ke klinik atau hospital.

“Kita dimaklumkan juga mereka kurang sihat untuk bergerak jauh apabila hendak mendapatkan rawatan ke klinik dan hospital,” tegasnya lagi.

Kampung Bruit merupakan sebuah perkampungan nelayan di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Semop dalam Parlimen Tanjung Manis.

Sibu merupakan bandar yang terdekat untuk penduduk kampung di sini berurusan dengan jarak perjalanan menggunakan bot yang mengmbil masa selama empat jam tertakluk kepada keadaan cuaca yang baik dan tiada berombak.